Skip to main content

Bulatan gembira itu!

Bismillah..segala puji bagi Allah yang mengatur setiap gerak langkah kita setiap masa. Dia sentiasa jaga kita walaupun kita seringkali lupa padaNya. Ampunkan kami Ya Allah. 

Kali ni saya nak cerita bagaimana saya mengenali usrah atau saya panggil bulatan gembira. Tidak semua yang tahu kecuali sahabat terdekat sahaja. Semoga terselit sedikit ibrah melalui perjalanan hidup saya ini. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ibu ayah bekerja sendiri. Sejak kecil, saya melihat  mereka berhempas pulas bekerja mengerah keringat demi membesarkan tujuh anak. Antara kerja yang pernah mereka buat ialah kerja sawah, menanam ubi keledek, tembakau, kacang tanah, jagung dan sayuran yang lain. Tanaman ini bersilih ganti mengikut musim. Saya masih ingat kami berlari-lari dan bermain dalam petak sawah, penuh dengan lumpur sambil menangkap ikan. Sungguh indahnya waktu itu. Terima kasih wahai ibu dan ayah kerana besarkan kami dengan penuh kasih sayang. 

Seperti kanak-kanak yang lain saya juga ada cita-cita. Apabila guru tanya di sekolah, saya pasti jawab nak jadi doktor. Ada sebabnya. Sebab bila pakai kot putih tu nampak 'cool'. Pastu, orang yang kerja doktor biasanya nampak bergaya dengan stetoskop tersangkut di leher. Peliknya, sehingga sekarang saya gementar jika berhadapan dengan doktor atau sakit dan terpaksa ke hospital. Lebih-lebih lagi, kalau sakit gigi. 

Sejak sekolah rendah, entah kenapa saya suka lihat orang yang bertudung labuh dan menutup aurat. Semestinya,apabila dah habis UPSR, saya nak sambung ke sekolah agama. Apakan daya, tiada rezeki buat saya. Saya menyambung pelajaran sekolah menengah di sekolah menengah harian biasa sahaja. Ulang alik daripada rumah ke sekolah dengan menaiki basikal. Lebih kurang 3 klometer atau 15 minit perjalanan bersama rakan sekampung saya. 

Keputusan SPM saya boleh dikatakan hebat juga. Paling cemerlang di sekolah saya waktu itu. Saya terus melanjutkan pelajaran ke matrikulasi atas nasihat guru 'Add Math' saya sebab dia yakin saya boleh belajar dengan baik. Dia guru yang paling saya suka. Apabila dah suka, saya selalu dapat A untuk subjek dia. Hehe.

Jalan masuk ke rumah saya di kampung. Sekarang jalan ini sudah di turap.

Semasa di matrikulasi, saya tidak dapat mengikuti pengajian dengan baik. Gred saya jatuh. Saya stress. Setiap hari saya fikir untuk lari daripada kolej itu. Saat menyedihkan apabila ibu saya datang melawat saya dalam keadaan sedih dan ada tangisan di wajahnya. Saya teruskan juga pengajian di situ selama setahun. Setelah lama saya meninggalkan jejak di situ, ada banyak hikmah lain yang saya dapat. 'Roomate' saya seorang yang bertudung labuh pernah mengajak saya menyertai usrah bersamanya. Itu kali pertama saya bersama-sama mereka yang berjuang di jalan Allah. Berada dalam satu bulatan gembira. Sama-sama baca al-Mathurat dan solat berjemaah di surau blok. Di situ juga, saya berjinak-jinak dengan pemakaian tudung labuh juga. Alhamdulillah. Meskipun hanya sempat mengenali mereka dalam beberapa bulan sahaja, tetapi saya mengenal nilai ukhuwah itu adalah semata-mata kerana Allah. Sungguh, kasih sayang Allah itu amat luas. 
Sebenarnya, Allah dengar doa saya untuk bersama-sama dalam suasana yang solehah. Walaupun saya tidak meminta bersungguh-sungguh, Allah tetap kabulkan. Usrah atau bermaksud keluarga. Ada tiga rukun iaitu taaruf (saling mengenali), tafahum (saling memahami) dan takaful (saling membantu). Usrah menjadi satu waktu rehat untuk kita sama-sama mengingati Allah. Sejak itu, saya tekad untuk teruskan berusrah walaupun sudah bekerja nanti. Kawan saya pernah pesan, sekiranya nak cari sahabat yang baik, carilah di taman-taman syurga iaitu majlis ilmu atau usrah. InshaAllah. Meskipun saya sudah tidak berhubung lagi dengan sahabat yang bersama di kolej itu, namun saya ingat pesannya itu sebagai prinsip hidup saya. 

Allah tidak pernah tinggalkan kita walau sekelip mata sekali pun. Allah sayang kita. Dia sentiasa meletakkan kita di tempat yang terbaik untuk mendidik kita mengenali siapa Pencipta. Memang saya tidak mendapat sebarang kejayaan semasa di matrikulasi tetapi, saya telah mendapat suatu jalan untuk mencintai Allah dan kekasihnya, Muhammad saw. 

Tazkirah yang disampaikan oleh sahabat saya bersama pelajar al Amin Kuantan. Gambar ini diambil pada tahun 2015 tak silap saya. Pelajar tahap 2 hanya 16 orang. Rindu mereka.

Salah satu aktiviti usrah. Beriadah sambil mendengar perkongsian. Pastu, dapat makan sama-sama. Indah sekali. Gambar ini di ambil di sebuah taman di Kuantan. 


Comments

  1. Alhamdulillah..Allah memakbulkan doa sis untuk berada dalam 'circle' sahabat dan rakan yang sama2 berusaha mencari redha Allah..semoga sis terus istiqamah dan dapat mengajak Dan mempengaruhi orang lain yang berada di sekeliling sis juga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang kita perlu hidup dalam kalangan mereka yang sentiasa ingat pada Allah, yang boleh beri nasihat dan sokongan pada kita apabila iman kita mula menipis. Sebab kita tahu, kita lemah. Sis juga.

      Delete
    2. Alhamdulillah anakanda Anis juga sahabat pernah sama mengajar .. sama dalam happy circle .. setiap aktiviti di Sriaapb .. moga Kita sama² istiqomah atas jalan Nya .. dunia & akhirat .. sayang Anis

      Delete
  2. Alhamdulillah...semoga kita semua diredhai Allah

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah, semoga terus istiqamah <3

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Asma' bebel.

Setiap malam,sebelum tidur dan selepas lampu rumah dipadamkan, Asma' akan mula bercerita. Pillow talk la konon. Dia akan cerita apa yang dia buat hari ni,apa yang dia akan buat bila bangun pagi, ada juga perkara lama yang dia ulang cerita.  Malam tadi,dia bertanya lagi tentang baby Awatif. Seperti dia merindukan adiknya yang tak sempat dia tatap dan sentuh itu. Aku mula rasa sedikit hiba.  Aku mula mengenangkan nasib anak murid kami yang kehilangan ibu ayah dan ahli keluarganya sekelip mata dalam kemalangan. Ingin sekali aku berkata pada Asma', bukan kita saja diuji Allah. Ada juga orang lain yang diuji sesuai dengan kemampuan mereka.  Bahkan lebih besar ujian mereka. Yakinlah dengan janji Allah itu, di syurga pasti akan bersatu kembali.

Bertumbuh

Bertumbuh ialah salah sebuah buku yang saya baca. Ianya dipinjam daripada seorang sahabat. Buku ini sejenis buku motivasi santai ditulis oleh penulis dari Indonesia. Saya pun tak catat pula nama beliau. Saya baca dalam penghujung tahun lepas.  Saya ingin berkongsi serba sikit berkenaan kandungan atau ilmu yang ada dalam buku tersebut. Kata penulis, kita tak perlu berubah menjadi orang yang lain. Sebab, lama-kelamaan kita akan jadi seperti kita yang dulu juga. Iaitu yang hina, malas, sombong, syok sendiri, angkuh dan lain lain.  Perkara yang kita perlu buat ialah bertumbuh. Dalam konteks, menjadikan masalah dan pengalaman dalam hidup kita untuk fokus pada matlamat, jiwa jadi besar, tidak mudah mengalah, matang, berani, dan banyak lagi nilai positif yang lain. Bertumbuh itu besar, besar amal, besar ikhtiar, besar tawakal dan syukur pada Allah. Kita tidak pernah terlambat untuk melakukan semua itu . Ciri-ciri bertumbuh yang ditulis dalam buku ini ada lima. Satu...

Muhasabah

Apabila lihat kembali ke belakang, banyak perkara yang berlaku adalah ketetapan terbaik buat diri saya. (mungkin juga buat kita semua). Saya sedar, Allah sebaik-baik Perancang. Ketika saya sudah putus asa, tidak mahu lagi berusaha dan merancang ,tetapi Allah tak pernah berhenti merancang untuk saya. Tugas saya ialah, menerima dengan hati terbuka bahawa semuanya ada hikmah. Ada kebaikan di sebalik kejadian. Susah hidup sekarang,susah lagi hidup mak ayah saya dulu. Memang cabarannya tidak sama. Namun, ingatlah wahai Anis, Allah uji sesuai dengan kemampuan kita. Susah hidup saya sekarang,ramai lagi orang susah di luar sana. Tak ada makanan,rumah tak ada air dan elektrik. Tandas pun tak ada. Kata Ustaz Ebit, "apa saya nak jawab depan Allah nanti?". Saya wajibnya bersyukur. Menangisi benda yang belum ada, sedangkan banyak lagi nikmat lain Allah bagi. Orang kata, kita kena syukur nikmat yang kecik-kecik dulu sebelum yang lebih besar. Contoh, bekalan oksigen yang kita dapat. Ki...