Skip to main content

Penutup 2024

Sedikit coretan untuk diri sendiri terutamanya. Sebagai muhasabah diri untuk terus bertahan di jalan hidup masing-masing. 


Pertama, kita perlu yakin dan berani apa saja yang kita buat pasti akan dapat balasannya suatu hari nanti. . Kebaikan mahupun kejahatan semua diambil kira dan dicatat. Jadi, jangan pernah berkira dengan membuat kebaikan. Buatlah baik semampu kita. Buat jahat jangan sekali. 

Next, apa sahaja halangan, ujian ataupun kita nak best sikit kita sebut cabaran hidup yang kita hadapi, bergantung kuatlah hanya pada Allah. Jangan pernah berharap pada makhluk. Apabila namanya makhluk ciptaan, mereka sendiri juga perlukan sesuatu untuk berpaut. Kita ni asalnya lemah dan selamanya lemah. Jangan bermimpi nak jadi kuat. Betul, Allah akan hadirkan manusia-manusia lain di sekeliling kita tetapi bukannya pergantungan 100% kepada mereka. Berdoa dan berharap hanya pada Allah. Kita hanya perlukan sedikit nasihat dan sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat. Selebihnya, hanya pada Dia kita mengadu dan akhirnya berserah. Jika hubungan kita kuat pada Allah, datanglah halangan apa sekali pun, kita tetap bertahan! Allah tak pernah tinggalkan kita dan kecewakan kita. Tahap akal manusia ni, kita tak akan mampu nak buat semua perkara. Manusia bukan tuhan.  

Seterusnya, kita kena ingat ada takdir dalam hidup ini ada yang mampu kita ubah dan ada yang kita tak mampu nak buat apa-apa. Sebulatnya berserah pada Allah. Dan takdir ini dia tak bagi tahu kita dia nak datang ye. Tanpa di duga. Tanpa dijangka. Tak mengira siapa. Tak mengira waktu. Apabila kita berada dalam situasi itu, baru kita sedar, aku yang Dia pilih untuk takdir ini. Saya sendiri juga pernah berada dalam situasi genting itu. Ketika bayi saya disahkan dapat bertahan hidup selama seminggu sahaja. Fikiran dan hati memberontak pada takdir Allah. Ia suatu fasa denial. Penerimaan takdir itu juga mengambil proses yang lama juga. Seringkali bertanya, 1 dalam 1000 ibu hamil kat dunia ni, kenapa aku insan terpilih untuk hadap semua ini. Ya. Ianya adalah takdir yang tak dijangka. Terima dan redha saja. Itu saja caranya. Kena sentiasa ready fizikal dan mental. Cakap senang je kan. Tapi redha Allah jualah yang kita nak bila mati nanti. Jika itu harga sebuah syurga, apa salahnya kan. Cuba fikir bestnya syurga. Dan bayi saya itu sudah selamat sampai di sana. Jeles ummi. 

Kemudian, banyakkan bersyukur dengan segala nikmat Allah. Satu Allah ambik, banyak lagi nikmat lain. Satu anak menunggu di syurga, ada dua lagi yang masih menemani saya kat dunia ni. Anak adalah amanah. Kehilangan itu buatkan saya lebih menghargai mereka yang masih ada di sisi. Saya akan berusaha dan cuba buat yang terbaik. Tapi ingat, kita tak akan pernah sempurna. Jadi, bersyukur lah setiap masa. Cakap dengan Allah dalam doa. "Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat Engkau yang tak terkira ini". Jika kita ambik air laut dijadikan dakwat pun masih lagi tak cukup  untuk tulis nikmat Allah pada kita. Jangan bandingkan orang yang lebih atas daripada kita dalam semua bab. Perihal anak, jodoh, rezeki semua itu jangan bandingkan dengan orang lain. Lihatlah mereka di bawah kita. Orang yang lebih susah daripada kita. Yang lebih lemah daripada kita. Jika kita syukur, Allah tambahkan lagi nikmat itu. Alhamdulillah. 

Banyakkan mengingati Allah setiap masa. Ketika berdiri, duduk, baring dan apa jua situasi. Bukan waktu susah saja ingat Allah. Tetapi lumrah lah kan, waktu susah itulah mudahnya kita nak ingat Allah. Sebab itulah Allah suka bagi kita susah, supaya mulut tu suka sebut nama Allah. Mulalah nak berzikir dan sebagainya. Sewaktu saya menjaga bayi saya di nicu, ianya suatu saat yang sangat getir buat saya. Bayangkan perut yang masih lagi rasa peritnya selepas operation, sakitnya tulang belakang kerana tak cukup rehat. Nak berhadapan pula dengan bayi yang kerap kali tiba-tiba berubah jadi biru. Bila-bila masa sahaja nyawanya akan diambil Allah. Nak tatap mukanya juga saya tidak kuat. Tapi Allah sebaik-baik Perancang. Saya sempat menukar lampinnya, belajar beri susu guna tiub dan bersihkan badannya sebelum dia pergi buat selamanya. Nak hadap semua ni, saya tak kuat. Mulut saya sentiasa mengucapkan kalimah, La haula wala quwwata illa billah. Tidak ada daya dan kekuatanku selain Allah. Hanya Allah saja yang mendengar dan mengetahui keadaan hambaNya. Allah tak akan uji kalau kita tak mampu. Alhamdulillah, saya dapat melaluinya dengan baik walaupun sukar dan peritnya saat itu. Saya yakin semua daripada kita ada waktu getirnya sendiri yang terpaksa kita lalui. Saat itu, hanya Allah saja yang ada di depan kita. Yakinlah. 

Semoga apa saja kesusahan yang kita dah hadapi, akan menambahkan kekuatan hati kita untuk menghadapi masa depan kita yang kabur. Menjadikan kita seorang yang baru. Jika dulu kita nampak lemah, tetapi kita semakin matang dan tahu macam mana nak hadap macam-macam ujian dalam hidup. Apa lah sangat dunia ini jika dibandingkan dengan akhirat. Kematian itu sungguh dekat. Berlaku kepada orang terdekat kita. Suatu masa, terjadi pula pada diri sendiri. Jadi, hargailah masa sekarang sebaiknya. Saya boleh dan anda semua juga boleh. InshaAllah!

Selamat datang 2025. Anda sudah bersedia?
(p/s: terpaksa bersedia dan terpaksa move on dengan cepat seiring perjalanan masa, tak sempat nak bersedih lama-lama..)



Comments

Popular posts from this blog

Kejayaan kecil bagi orang biasa-biasa

Assalamualaikum. Harap semua baik-baik saja. Segala rasa syukur hanyalah pada Allah atas pinjaman anggota badan yang sihat dan segala macam nikmat lain.  Jika ditulis dengan air laut sebagai dakwat sekalipun, masih tak cukup lagi nak senaraikan nikmat Allah ini.  Sejak saya menghadiri satu bengkel penulisan yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya dapat sedikit gambaran untuk menulis. Jadi, terhasillah blog ini yang hanya dijadikan tempat pengumpulan rasa dan perasaan dalam bentuk tulisan. Hanya dibaca oleh diri saya sendiri dan beberapa orang terdekat. Jumlah pengikut juga ada kosong (0). Hihi.  Saya ada seorang sahabat yang juga bekerja di tempat yang sama dengan saya. Beliau juga suka membaca dan menulis. Ada beberapa buah buku saya pinjam daripada beliau. Beliau ada berkongsi dengan saya iklan untuk hantar kepada sebuah web yang juga pengumpul dan menjual buku-buku inspirasi dari Malaysia dan Indonesia. Artikel yang dapat tersiar dalam laman web tersebut akan...

Bulatan gembira itu!

Bismillah..segala puji bagi Allah yang mengatur setiap gerak langkah kita setiap masa. Dia sentiasa jaga kita walaupun kita seringkali lupa padaNya. Ampunkan kami Ya Allah.  Kali ni saya nak cerita bagaimana saya mengenali usrah atau saya panggil bulatan gembira. Tidak semua yang tahu kecuali sahabat terdekat sahaja. Semoga terselit sedikit ibrah melalui perjalanan hidup saya ini. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ibu ayah bekerja sendiri. Sejak kecil, saya melihat  mereka berhempas pulas bekerja mengerah keringat demi membesarkan tujuh anak. Antara kerja yang pernah mereka buat ialah kerja sawah, menanam ubi keledek, tembakau, kacang tanah, jagung dan sayuran yang lain. Tanaman ini bersilih ganti mengikut musim. Saya masih ingat kami berlari-lari dan bermain dalam petak sawah, penuh dengan lumpur sambil menangkap ikan. Sungguh indahnya waktu itu. Terima kasih wahai ibu dan ayah kerana besarkan kami dengan penuh kasih sayang.  Seperti kanak-kanak ya...