Bismillah. Lama sungguh saya tidak menjenguk blog ini. Coretan kali ini ialah sekadar catatan pengalaman dalam hidup di dalam dunia fana ini untuk tatapan hari tua nanti. Tahun 2024 tahun ujian buat saya dan keluarga kecil kami. Sungguh berat sekali ujian ini.
Hujung december lepas, 2023 saya disahkan hamil buat kali ketiga. Rancangnya, ini adalah kandungan saya yang terakhir disebabkan saya akan elective czer buat kali ketiga. Dan, akan memandulkan diri sendiri dengan kaedah pemandulan kekal iaitu ikat peranakan atau bilateral tubal ligation (btl).
Apabila kandungan masuk 23-25 minggu, saya akan buat detail scan untuk setiap anak untuk memastikan keadaan baby sihat dan normal sebaik saja dilahirkan. Keputusan mendapati ada beberapa abnormal pada otak, jantung dan juga buah pinggang. Doktor atau sonografer di klinik swasta mencadangkan untuk buat detail scan buat kali kedua dalam masa dua minggu lagi. Waktu ini, saya tidak begitu risau tentang ini kerana anak kami sebelum ini lahir dengan sihat. Kata hati, mungkin ada kesilapah teknikal dengan keputusan detail scan itu.
Saya menyerahkan keputusan detail scan tersebut kepada doktor di klinik kesihatan. Dipendekkan cerita, doktor membuat surat rujukan untuk bertemujanji dengan doktor pakar di Hospital Serdang. Satu-satunya doktor pakar baby terdekat, Dr Ramesh.
Temujanji pertama dibuat dua minggu kemudian, waktu itu usia kandungan dah masuk 28 minggu tak silap. Dah lupa pulak hehe. Doktor mencadangkan ujian air ketuban (choromosome test) dibuat secepat mungkin. Kos ujian itu hampir RM 1600. Kami perlu membuat pembayaran terus pada waktu itu juga. Sampel air ketuban diambil. Serta merta, saya berasa sangat gementar kerana dalam hati, terfikir macam mana cara sampel diambil. Doktor menyapu cecair yang sejuk (tak tahu nama) ke atas perut saya. Jarum yang sangat besar dan halus menembusi lapisan perut. Air ketuban disedut dan dikeluarkan. Sampel dihantar ke makmal untuk dianalisis. Dua minggu kemudian, keputusan akan keluar pada temu janji kedua. Sampel darah saya dan suami juga diambil.
Saya meneruskan hidup dengan rutin yang sama, dengan perasaan yang bercampur aduk. Harapannya agar kami akan mendapat khabar yang baik dengan keputusan air ketuban itu. (amniotic test).
Saya dan suami hadir ke hospital untuk temujanji kedua. Urusan hospital atau klinik semuanya menguji kesabaran. Menunggu giliran berjam-jam, tetapi jumpa doktor hanya 5 minit. Dengan penuh debaran, doktor yang bukan muslim itu minta saya gugurkan kandungan secepat mungkin kerana bayi kami disahkan Patau Syndrome. Luruh hati. Sedih. Terkejut. Tertanya-tanya syndrome apakah itu? Kecacatan pada kromosom 13. Memberi kesan pada otak bayi, rosak, tidak boleh berfungsi. Semuanya bergantung pada otak. Otak yang mengawal segalanya. Sebaik sahaja bayi ini lahir, dia tidak akan dapat teruskan hidup. Tak boleh bernafas. Jangka hayatnya mungkin sehari. Doktor meramalkan seminggu sahaja. Nasihat doktor, dia tidak mahu saya akan lebih menyayangi bayi ini sekiranya saya lahirkannya. Lebih kepada penjagaan emosi ibu. Waktu ini, kami dalam fasa denial. Menidakkan apa yang kami baru dengar. Seakan tidak percaya. Seperti mimpi. Air mata keluar tanpa henti sebaik saja saya melangkah keluar dari bilik doktor itu.
Bayi saya sihat. Pergerakannya juga aktif. Saya juga sihat, tak pernah saya ambil cuti sakit sepanjang saya hamil. Cuma kali ini, saya ada gdm (gestational diabetes mellitus). Perlu pantau bacaan gula dalam darah setiap minggu.
Saya terus menaip patau syndrome di carian google. Semuanya carian, keluar gambar bayi yang dalam keadaan tidak baik. Mulutnya yang sumbing. Hidungnya yang agak penyek. Ada juga yang mampu bertahan sebulan, 6 bulan malah ada juga sehingga umur setahun. Mungkin bergantung pada kerosakan organ pada bayi. Jika otaknya sudah rosak, organ-organ lain juga tidak mampu berfungsi dengan baik.
Saya dan suami cuba menenangkan diri. Kami menyampaikan berita ini kepada ahli keluarga dan sahabat terdekat. Yang paling utama, kami perlu buat keputusan sama ada ingin meneruskan kehamilan atau tidak. Saya menyampaikan berita kepada guru besar sekolah. Minta pendapat sahabat, pendapat daripada kenalan doktor. Kami juga dapatkan kaunseling daripada doktor pakar di Hospital Annur. Dari segi hukum agama, kandungan ini tidak boleh digugurkan kerana sudah ada nyawa, sudah lengkap anggota badannya sebagai seorang manusia, hamba ciptaan Allah. Jika saya gugurkan, membunuh namanya. Fasa penerimaan ini mengambil masa. Kami juga ingin tahu cara penjagaan bayi ini selepas dilahirkan. Akhirnya, atas nasihat doktor dan beberapa kenalan, kandungan ini diteruskan dan akan dibedah pada usia kandungan 37 minggu.
Setiap hari yang berlalu terasa berat sekali. Saya juga bercerita keadaan bayi ini kepada kedua anak kami dengan bahasa yang mudah. "Baby dalam perut ummi ini tak sihat, mungkin juga dia akan mati. Tak boleh hidup lama." Setiap kali lepas solat, Azzam selalu mendoakan ummi dan baby. Saya dengar dia doakan saya. Mereka sangat excited menunggu kehadiran adik baru tapi pada masa yang sama adik mereka tak boleh hidup lama. Asma' selalu tanya pada umminya, bila baby nak keluar? Setiap hari. Sedangkan umminya sangat neves menantikan hari itu. Doa dan doa pada Allah supaya dikurniakan hati yang redha atas takdir ini. Agar semuanya berjalan lancar. Menunggu tarikh dibedah seperti menunggu mati.
28 ogos-masuk wad
29 ogos-dibedah pada pukul 10 pagi
Keluarnya bayi bakal syurga tanpa tangisan. Namun, wajah bayi itu sangat sempurna bagi saya, seperti bukan bayi syndrome. Harum mewangi bau baby. Menitis air mata saya sangat mencium pipinya yang agak gebu di wad bedah itu. Bayi seberat 2.3 kg itu comel.
Bersambung.
.
.
.
Comments
Post a Comment