Skip to main content

Bingkisan rindu

Mukhayyam guru dan staf kali ini diadakan di Lembah Azuwen Hulu Langat. Ada beberapa pesan buat diri saya supaya mukhayyam yang saya ikuti ini ada makna. Suatu peringatan buat diri sendiri untuk meneruskan baki usia yang ada. 

Hadis Nabi saw

Dari Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: ā€œSetiap ruas tulang pada manusia wajib atasnya bersedekah setiap hari mulai terbitnya matahari. Seseorang yang mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah dan menolong seseorang untuk menaiki kenderaan tunggangannya lalu mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaan tunggangannya adalah sedekah dan ucapan yang baik adalah sedekah dan setiap langkah berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan membuangkan sesuatu yang boleh menyakiti atau menghalangi orang dari jalan adalah sedekahā€.(HR Bukhari No: 2767) 

Hadis ini dikongsikan oleh Ustaz Sazali. Katanya, setiap ruas tulang kita yang bergerak untuk buat suatu kebaikan,akan dicatat ganjaran di sisi Allah. Ianya dikira sebagai sedekah. Kalau dibaca hadis di atas, ada beberapa contoh perbuatan yang dikira sebagai sedekah. 

Nak dapat pahala sangat senang. Dan nak terhapus dosa juga senang. Ruangnya sangat banyak. Jumaat hingga Jumaat ada peluang nak dapat pahala dan hapus dosa. Ramadhan ke Ramadhan akan terhapus dosa. Puasa Arafah dan puasa sunat yang lain juga ada peluang itu. Jadi, senang sahaja. 

Apa yang kita niatkan, itulah yang Allah bagi. Buat, kemudian Allah sahaja yang nilai. Allah mengetahui segalanya. Kita ajar murid tentang nilai seseorang manusia itu. Bukan sekadar ilmu yang diajar tetapi nilai yang kita nak tanam pada murid.  Contoh, tolong orang dan lain-lain. Banyak hadis Nabi saw menyebut tentang nilai atau akhlak. Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling baik akhlaknya dengan ahli keluarga. Paling baik dengan orang tua. Paling baik dengan isteri dan anak-anak. Itulah yang dipesan oleh Nabi kita. 

Beri anak-anak peluang berfikir dan membuat pilihan. Bertanggungjawab di atas apa yang mereka lakukan. Contoh, seorang anak menyebabkan air tertumpah, minta anak itu yang lap. Anak yang bermain alat mainan, minta mereka yang kemas selepas main. Didik anak dengan nilai ini sejak mereka kecil lagi. Ini sahaja sedikit ilmu yang saya dapat dalam perkongsian pada malam yang pertama. Di samping mujahadah melawan nafsu letih dan mengantuk, ada juga sedikit pesan untuk dibawa pulang. Antara kata terakhir daripada Ustaz, guru yang mempunyai jiwa guru sahaja yang akan merasai nikmatnya menjadi guru.

Master Chef

Seterusnya, perkara yang disebut oleh Dr. Azma yang melekat dalam fikiran saya ialah Master Chef. Sebuah rancangan realiti tv yang mencari seorang chef yang profesional dalam memasak. Pada mulanya, peserta adalah dalam kalangan tukang masak biasa-biasa, namun berjaya menjadi yang luar biasa. Analogi ini sama sahaja dalam bidang pendidikan. Untuk menjadi master teacher, ada dua perkara utama yang wajib kita ada. Pertama kemahiran (skill). Kedua ilmu (knowledge). Seorang guru perlu berusaha mencari ilmu sebanyaknya untuk diajar pada anak-anak. Ianya boleh didapati di internet, buku atau di mana sahaja. Kemahiran juga harus diasah supaya kita mahir dan kreatif. Belajar dan upgrade diri.

Ada 4 H yang dikongsikan bagi mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran. Iaitu:
1. Head : Beri ilmu yang membolehkan mereka berfikir (saya agak kurang faham yang ni)
2. Hands-on: Setiap kali mengajar, pastikan ada kemahiran baru yang mereka pelajari
3. Heart: Perkara yang diajar mesti melekat pada hati
4. Hereafter: Fikir apa yang kita ajar adalah untuk bekalan kita, dan juga untuk bekalan anak-anak di akhirat kelak.

Wallahua'lam.


At-Taubah ayat 105


Image result for at taubah ayat 105
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan"



Tazkirah Subuh ini disampaikan oleh Ustaz Hasanuddin,ahli parlimen Hulu Langat. Beliau menyampaikan mukaddimah tazkirahnya, lebih kurang begini. 

Mukhayyam adalah salah satu wasilah (cara) dalam pentarbiahan. Ada beberapa konsep tarbiyah: 

1. At-Tilawah : Membaca ayat Allah, ikut apa yang terkandung dalam kitab Allah.
2. At-Ta'lim: Pengajaran dengan berhikmah. 
3. At-Tazkiyah: Membersihkan diri, penyucian hati.

Ustaz memberi penekanan kepada tazkiyah. Menyucikan hati daripada sifat mazmumah. Mukhayyam adalah satu proses tarbiyah. Untuk menyucikan hati, kita perlu ada pasukan atau orang-orang yang mengingatkan kita tentang ayat-ayat Allah. Kita sebagai manusia biasa akan mudah terdedah dengan dosa kerana syaitan tak pernah penat daripada buat kerjanya. Kita sememangnya ada banyak ilmu, tetapi perlu bijak membuat pilihan. Meletakkan ilmu pada tempatnya ketika berhadapan dengan pelbagai isu. Perlu ada hikmah. Contoh, petugas masjid menghamparkan karpet terlalu awal sebagai persediaan untuk solat Jumaat. Namun, gulungan karpet yang banyak menyebabkan seorang warga emas nyaris terjatuh. Meletak karpet awal tidak ada dalam mana-mana hadis. Tetapi, membuang benda yang menghalang laluan adalah sedekah. Jadi, di sini perlu diambil kira hikmah di sebalik keputusan yang diambil, sama ada membawa kebaikan atau tidak. Setiap perkara, selalu ada kebaikan dan kelemahan, tapi jadikanlah Al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan.

Berdasarkan ayat 105 surah di atas, Allah menyuruh kita buatlah apa pun, nanti Allah akan lihat. Orang-orang beriman juga akan tengok. Kemudian,kepada Allah jua kita dikembalikan. Allah akan memaklumkan kepada kita tentang amalan yang kita buat itu. Masa yang lepas itu sudah meninggalkan kita. Sekarang, hiasi hidup kita dengan amalan. Sucikan hati daripada sifat mazmumah:

1. Sum'ah: nak orang tengok,puji.
2. Ujub: rasa bangga dengan diri.
3. Riak: buat amalan nak suruh orang tengok.
4. Takabbur: kita bercakap tentang amalan yang kita buat.

Rasulullah saw pernah membuat mutabaah amal dengan para sahabat dalam satu majlis. Nabi bertanya sahabat hari ini siapa yang;

1. Berpuasa hari ini
2. Bagi makan orang miskin
3. Ziarah orang sakit
4. Iringi jenazah

Abu Bakar mengaku telah buat semua amalan di atas. Walau pun Abu Bakar mengaku di hadapan ramai orang, Abu Bakar menyucikan hatinya daripada sifat mazmumah. Pertanyaan Nabi bertujuan menggalakkan para sahabat bersaing dalam membuat kebaikan. Orang akan nampak amalan kita. Jadi, bersihkan diri buat amalan tanpa rasa mazmumah.

1. Beramal
2. Bersedia dinilai
3. Amal yang soleh, yang diredhai,sesuai dengan usia dan keadaan

Bersainglah secara sihat dalam organisasi. Kita perlukan satu pasukan dan buat keputusan bersama. Akhirnya, Dr Azma berkongsi pengalamannya ke pesantren. Mula sesuatu dengan diri sendiri dulu. Ajak anak-anak buat bersama sejak dari kecil lagi. Itulah proses tarbiyah yang berlaku sepanjang hidup kita.

Membangun Muslim Profesional

Ini tema mukhayyam. Nak jadi Muslim profesional ini banyak kriteria yang perlu dipenuhi. Jaga penampilan, akhlak dan sahsiah, amanah dan tanggungjawab, menjaga masa dan lain-lain. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menjadi muslim profesional dan melahirkan generasi yang profesional juga. InshaAllah.

Doa ini dibaca oleh Nabi Sulaiman semasa baginda berumur 40 tahun.
1. bersyukur dengan nikmat
2. tetap kerjakan amal soleh yang Allah redha
3. menjadikan sifat  kebaikan meresap ke dalam jiwa


Gambar-gambar kenangan sekitar program.














Comments

Popular posts from this blog

Penutup 2024

Sedikit coretan untuk diri sendiri terutamanya. Sebagai muhasabah diri untuk terus bertahan di jalan hidup masing-masing.  Pertama, kita perlu yakin dan berani apa saja yang kita buat pasti akan dapat balasannya suatu hari nanti. . Kebaikan mahupun kejahatan semua diambil kira dan dicatat. Jadi, jangan pernah berkira dengan membuat kebaikan . Buatlah baik semampu kita. Buat jahat jangan sekali.  Next, apa sahaja halangan, ujian ataupun kita nak best sikit kita sebut cabaran hidup yang kita hadapi, bergantung kuatlah hanya pada Allah . Jangan pernah berharap pada makhluk. Apabila namanya makhluk ciptaan, mereka sendiri juga perlukan sesuatu untuk berpaut. Kita ni asalnya lemah dan selamanya lemah. Jangan bermimpi nak jadi kuat. Betul, Allah akan hadirkan manusia-manusia lain di sekeliling kita tetapi bukannya pergantungan 100% kepada mereka. Berdoa dan berharap hanya pada Allah. Kita hanya perlukan sedikit nasihat dan sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat. Selebihnya, h...

Kejayaan kecil bagi orang biasa-biasa

Assalamualaikum. Harap semua baik-baik saja. Segala rasa syukur hanyalah pada Allah atas pinjaman anggota badan yang sihat dan segala macam nikmat lain.  Jika ditulis dengan air laut sebagai dakwat sekalipun, masih tak cukup lagi nak senaraikan nikmat Allah ini.  Sejak saya menghadiri satu bengkel penulisan yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya dapat sedikit gambaran untuk menulis. Jadi, terhasillah blog ini yang hanya dijadikan tempat pengumpulan rasa dan perasaan dalam bentuk tulisan. Hanya dibaca oleh diri saya sendiri dan beberapa orang terdekat. Jumlah pengikut juga ada kosong (0). Hihi.  Saya ada seorang sahabat yang juga bekerja di tempat yang sama dengan saya. Beliau juga suka membaca dan menulis. Ada beberapa buah buku saya pinjam daripada beliau. Beliau ada berkongsi dengan saya iklan untuk hantar kepada sebuah web yang juga pengumpul dan menjual buku-buku inspirasi dari Malaysia dan Indonesia. Artikel yang dapat tersiar dalam laman web tersebut akan...

Bulatan gembira itu!

Bismillah..segala puji bagi Allah yang mengatur setiap gerak langkah kita setiap masa. Dia sentiasa jaga kita walaupun kita seringkali lupa padaNya. Ampunkan kami Ya Allah.  Kali ni saya nak cerita bagaimana saya mengenali usrah atau saya panggil bulatan gembira. Tidak semua yang tahu kecuali sahabat terdekat sahaja. Semoga terselit sedikit ibrah melalui perjalanan hidup saya ini. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ibu ayah bekerja sendiri. Sejak kecil, saya melihat  mereka berhempas pulas bekerja mengerah keringat demi membesarkan tujuh anak. Antara kerja yang pernah mereka buat ialah kerja sawah, menanam ubi keledek, tembakau, kacang tanah, jagung dan sayuran yang lain. Tanaman ini bersilih ganti mengikut musim. Saya masih ingat kami berlari-lari dan bermain dalam petak sawah, penuh dengan lumpur sambil menangkap ikan. Sungguh indahnya waktu itu. Terima kasih wahai ibu dan ayah kerana besarkan kami dengan penuh kasih sayang.  Seperti kanak-kanak ya...