Skip to main content

100% milik Allah

Orang yang kita sayang adalah milik Allah. Anak, harta, rumah dan semua yang ada adalah pemberian sementara daripada Allah. Apabila pinjaman, maka Dia boleh ambil semula bila-bila masa Dia mahu. Jadi, bersyukur selagi nikmat itu masih lagi ada dengan kita. Udara yang kita sedut. Anggota badan. Tangan dan kaki semua milik Allah. Biasanya, kita akan diuji dengan benda yang kita sayang. Sejauh mana sayang kita itu? Adakah semata-mata kerana Allah? Atau sayang sehingga melupakan Allah? Duit yang banyak membuat kita lalai? Semua datang daripada Allah, dan akan kembali padaNya. Apabila kita meletakkan kecintaan kita tidak melebihi daripada cinta Allah, maka senang bagi kita jika Allah tarik semula pinjamanNya. Orang yang kita sayang akan tinggalkan kita. Orang yang kita harapkan, akan kecewakan kita. Jadi, letak Allah di dalam hati. Di hadapan segalanya. Tiada yang lebih kasih sayangnya pada kita selain Allah. Allah tidak pernah kecewakan kita. Dia juga faham segala masalah kita. Sebab itulah, Dia bagi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Ingat sahabatku, pergantungan hanya pada Allah, bukan pada makhlukNya.


"Di saat semua orang meninggalkan kita, siapa yang sentiasa ada? Allah. 
Di saat semua orang melukakan hati kita, siapa yang tetap menjanjikan syurga bagi orang  yang sabar? Allah."

Tahun ini saya mengajar kelas tahun satu sahaja. Enam kelas semuanya. Satu subjek setengah. Macam mana tu? Satu subjek semua kelas, lagi satu subjek empat kelas sahaja. Satu kelas ada 31 atau 32 orang murid. Keadaan ini menyebabkan saya sukar untuk kenal semua murid. Mungkin ingat muka, tapi saya tidak nama. Tambahan pula jika namanya ada tiga patah kata setiap seorang. Agak sulit juga nak buat pentaksiran nanti. 

Pada waktu pagi, mereka ini agak malas nak baca Al-Quran. Dua bulan pertama ini,mereka perlu kenal huruf dan menyebutnya dengan betul. Saya sebut, kemudian mereka ikut secara beramai-ramai atau individu. Suara daripada 32 murid, kedengaran dua tiga orang sahaja yang baca. Yang lain mengelamun, terkebil-kebil, tengah lukis-lukis, main alat tulis dan banyak lagi. Soalan yang biasa mereka tanya, bila nak rehat atau sekarang pukul berapa. Itu saja. 

Jadi, saya ceritakan pada mereka sebab perlu baca Al-Quran. Setiap pagi, tanya mereka solat subuh atau tidak. Nabi Muhammad seorang yang taat kepada perintah Allah. Baginda sudah dijamin syurga oleh Allah. Kenapa pula Nabi sibuk solat sehingga bengkak kakinya? Jawapannya, Nabi nak jadi hamba yang bersyukur dan berterima kasih pada Allah. 

Saya cuba memotivasikan anak-anak tahun satu tentang kepentingan solat dan baca Al-Quran dengan bahasa yang mudah. Mengikut tahap kefahaman mereka sesuai dengan usia. Ketika berada dalam kubur nanti, tidak ada sesiapa yang boleh tolong kita. Gelap. Sempit. Ada cacing. Ulat. Ular. Nauzubillah. Hanya solat dan Al-Quran sahaja yang boleh bantu. Oleh sebab itulah, kena solat penuh dan sentiasa baca Al-Quran. 


Apabila saya kata,"semua angkat tangan kanan, goyang-goyang. Angkat tangan kiri, goyangkan". Semua ikut kata-kata saya,"Ya Allah,terima kasih bagi saya tangan, dengan tangan ini saya boleh makan, saya boleh tulis, saya main, dan macam-macam lagi. Terima kasih Ya Allah". Semua dengar dan kelas diam sebentar. Saya harap mereka faham apa yang saya cuba sampaikan. Mungkin perlu diulang-ulang dan diingatkan sehingga 5000 kali. Fuh.



Gambar ini diambil pada waktu senja. Saya terfikir, kenapa burung-burung ni terbang ke arah yang sama? Mereka pulang kepada sarang yang sama ke?

Ambil aura daripada dua orang Ain yang sangat pro. 

Kelas Al-Quran setiap pagi. 

Ketika saya mengingatkan mereka, sebenarnya pesanan itu adalah untuk diri sendiri. Anak-anak sangat suci fitrahnya. Kita yang banyak dosa ini perlu banyak perbaiki diri. Teruskan buat baik selagi ada ruang dan waktu. Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Nikmat sihat dan masa lapang itu adalah yang paling susah untuk kita syukuri dan hargai. Tidak ada milik kita. Seratus peratus milik Allah. 


Comments

  1. Saya mendapat idea tagline 100% ini daripada seorang pensyarah ketika kursus yang saya ambil sekarang ini. Beliau sangat murah dengan senyuman dan banyak membantu kami memudahkan tugasan yang diberi. "100% exam ini adalah berdasarkan nota." Thank you Sir.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Asma' bebel.

Setiap malam,sebelum tidur dan selepas lampu rumah dipadamkan, Asma' akan mula bercerita. Pillow talk la konon. Dia akan cerita apa yang dia buat hari ni,apa yang dia akan buat bila bangun pagi, ada juga perkara lama yang dia ulang cerita.  Malam tadi,dia bertanya lagi tentang baby Awatif. Seperti dia merindukan adiknya yang tak sempat dia tatap dan sentuh itu. Aku mula rasa sedikit hiba.  Aku mula mengenangkan nasib anak murid kami yang kehilangan ibu ayah dan ahli keluarganya sekelip mata dalam kemalangan. Ingin sekali aku berkata pada Asma', bukan kita saja diuji Allah. Ada juga orang lain yang diuji sesuai dengan kemampuan mereka.  Bahkan lebih besar ujian mereka. Yakinlah dengan janji Allah itu, di syurga pasti akan bersatu kembali.

Penutup 2024

Sedikit coretan untuk diri sendiri terutamanya. Sebagai muhasabah diri untuk terus bertahan di jalan hidup masing-masing.  Pertama, kita perlu yakin dan berani apa saja yang kita buat pasti akan dapat balasannya suatu hari nanti. . Kebaikan mahupun kejahatan semua diambil kira dan dicatat. Jadi, jangan pernah berkira dengan membuat kebaikan . Buatlah baik semampu kita. Buat jahat jangan sekali.  Next, apa sahaja halangan, ujian ataupun kita nak best sikit kita sebut cabaran hidup yang kita hadapi, bergantung kuatlah hanya pada Allah . Jangan pernah berharap pada makhluk. Apabila namanya makhluk ciptaan, mereka sendiri juga perlukan sesuatu untuk berpaut. Kita ni asalnya lemah dan selamanya lemah. Jangan bermimpi nak jadi kuat. Betul, Allah akan hadirkan manusia-manusia lain di sekeliling kita tetapi bukannya pergantungan 100% kepada mereka. Berdoa dan berharap hanya pada Allah. Kita hanya perlukan sedikit nasihat dan sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat. Selebihnya, h...

Bertumbuh

Bertumbuh ialah salah sebuah buku yang saya baca. Ianya dipinjam daripada seorang sahabat. Buku ini sejenis buku motivasi santai ditulis oleh penulis dari Indonesia. Saya pun tak catat pula nama beliau. Saya baca dalam penghujung tahun lepas.  Saya ingin berkongsi serba sikit berkenaan kandungan atau ilmu yang ada dalam buku tersebut. Kata penulis, kita tak perlu berubah menjadi orang yang lain. Sebab, lama-kelamaan kita akan jadi seperti kita yang dulu juga. Iaitu yang hina, malas, sombong, syok sendiri, angkuh dan lain lain.  Perkara yang kita perlu buat ialah bertumbuh. Dalam konteks, menjadikan masalah dan pengalaman dalam hidup kita untuk fokus pada matlamat, jiwa jadi besar, tidak mudah mengalah, matang, berani, dan banyak lagi nilai positif yang lain. Bertumbuh itu besar, besar amal, besar ikhtiar, besar tawakal dan syukur pada Allah. Kita tidak pernah terlambat untuk melakukan semua itu . Ciri-ciri bertumbuh yang ditulis dalam buku ini ada lima. Satu...