Skip to main content

Sweet 30

Bismillah..segala puji bagi Allah swt yang masih memberi peluang kepada kita untuk memperbaiki diri dan menambah kecintaan hanya kepadaNya. Jika kita cinta pada manusia, kita akan kecewa. Tetapi cinta kepada Allah swt tidak akan pernah buat kita sedih, malah lebih membuatkan jiwa kita lagi besar. Cinta pada dunia, akan membuatkan kita leka. Semua yang datang dalam hidup kita adalah ujian. Letaklah dunia dan segalanya isinya di tangan, bukannya di hati. Barulah kita tidak kecewa dan sedih dengan dunia yang sifatnya hanya sementara. Datanglah ombak atau taufan, kita pasti berjaya mengharunginya dengan tenang. Akhirat jua lebih utama dan berkekalan. 

Dua hari lepas, saya dan sahabat baru sahaja meraikan usia kami yang sudah menjangkau 30 tahun. Tidak tahu hendak rasa gembira atau sedih? Tujuan apa kami meraikan? Sebenarnya, kami sekadar membeli sebiji kek, kemudian makan bersama-sama. Kami berkongsi bayaran dalam RM 10 setiap orang. Bilangan kami semua ialah tujuh orang. Semuanya lahir pada tahun 1990. Pastinya, tujuan kami adalah sebagai peringatan untuk rasa syukur atas segala pemberian Allah swt. Pelbagai cabaran telah kami lalui sepanjang umur 30 tahun ini, semuanya di atas rahmat dan kasih sayang Allah swt. Ada di antara kami yang sudah mempunyai dua anak, seorang anak dan ada juga yang masih belum bertemu jodoh. Ujian kami pasti berbeza. Tuhan menguji sebab Dia sayang. Bahagia itu bukan diukur dengan adanya suami, anak atau harta. Bahagia datang dengan jiwa yang tenang. Hati yang sentiasa ingat padaNya dan sentiasa meletakkan Dia di hadapan kita. 

Hidup akan lebih mencabar seiring dengan kematangan usia. Kita bukan lagi budak darjah satu, di mana cabarannya adalah perlu beratur panjang untuk beli makanan. Ada yang terpaksa beratur di bawah sinaran mentari dan banyak lagi cabaran yang mereka terpaksa lalui dengan suasana dan persekitaran yang baru. Mereka perlu sedar bahawa mereka tidak lagi berada di tadika. Bertepatan dengan firmanNya, Allah menguji sesuai dengan kemampuan hambaNya (2:286). 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir" (2:286). 

Pada usia dewasa iaitu antara 20 hingga 40 tahun, merupakan saat yang penting dalam kehidupan. Kita akan lebih banyak disibukkan sama ada dengan kebaikan atau kejahatan. Kita perlu berhati-hati sekiranya setelah mencecah usia ini, amal kebaikan kita masih tidak mengatasi amal keburukan. Tidak kurang juga ada yang kembali menghadap Ilahi pada usia begini, berpunca daripada pelbagai penyakit atau kemalangan yang tidak disangka. 

Sheikh Abdul Wahab Al-Sya'rani dalam kitabnya al-Bahrul Maurud, menyebut apabila usia manusia mencecah 40 tahun, berjanjilah dengan diri supaya melipat tikar dan bantal dengan serta-merta serta ingatlah mereka dalam perjalanan menuju akhirat. Setiap nafas disedut tidak lagi dipergunakan untuk kepentingan dunia sama sekali, di samping mengira setiap detik melebihi usia 40 tahun menyamai tempoh 100 tahun sebelumnya. Selepas usia 40 tahun, tiada lagi masa berehat atau mengejar urusan dunia kerana masa semakin suntuk malah kematian semakin hampir tiba. 

Imam Syafie apabila mencecah usianya 40 tahun, akan membawa tongkat sebagai peringatan beliau sedang menuju akhirat.
Sahabat-sahabat yang disayangi, persiapkan diri dengan bekalan menuju akhirat. Fitrahnya manusia, kita tidak akan pernah puas dengan apa yang ada. Jarang kita syukuri perkara yang sudah ada dengan kita. Jika kita sudah berumah tangga, pasti kita ingin menimang cahaya mata. Kemudian. jika kita tinggal di rumah sewa,pasti teringin untuk membeli rumah sendiri. Jika kita sudah ada kereta kecil, pasti akan ada impian untuk berkereta besar pula. Itulah perangai manusia. Tidak salah memasang impian, asalkan syariat agama dijaga. Menjaga hubungan dengan Tuhan dan sesama manusia. Ayuh, perbaiki diri ke arah lebih baik. Terima kasih kepada sahabat yang mengingatkan saya pada usia yang semakin singkat ini. Alhamdulillah.  
Sudah dua kali tempah kek 'chocolate cheese' ni, memang sedap dan berpatutan. 


Yasmin, Ca, Aisah. Tidak ada dalam gambar; Lina, Umi dan Aisyah sebab ada tugasan lain. Hehe..

Comments

Popular posts from this blog

sahabatku

Akhirnya, dapat juga jumpa sahabat yang sudah sekian lama tidak ketemu. Alhamdulillah, dapat juga bertemu beliau sebelum balik ke Bangi baru-baru ini. Bolehlah ubati kerinduan dalam hati walaupun sekejap sahaja.  Semoga kita ketemu lagi, tabah menghadapi segala ujian hidup, cepat siapkan tesis dan dapat kerja yang mulia. I love you. 

Allah lebih mencintaimu

Orang kata, apa yang terbuku di hati itu perlu diluahkan. Kalau tak  mampu luahkan dengan kata-kata, boleh juga melalui tulisan seperti apa yang saya buat ni. Haha. Jika tidak diluahkan, akan menjadi beban dalam diri. Jadi, masing-masing ada cara tersendiri untuk mengatasinya.  Syukur kepada Allah atas segala nikmatNya yang tak terkira. Jika nak dibandingkan dengan sedikit ujian ni, nikmat Allah itu lagi luas. Dalam keadaan negara dilanda wabak covid-19 ni, semuanya tidak ada kepastian. Semua keputusan dalam genggaman Allah. Manusia hanya mampu merancang sahaja, selebihnya serahkan saja pada Allah.  Kunci untuk segala masalah adalah sabar. Allah lebih mencintaimu.