Seorang murid kelas saya, setiap hari sakit perut. Berkerut saja kening. Tetapi apabila makan nasi lemak di kantin, habis makan. Berselera sekali. Dengan syarat, abang atau kakaknya mesti teman. Semalam, saya terserempak dengannya. Katanya, dia mahu ke tandas. Saya tanya, "Sakit perut lagi ke?" "Sakit sikit". Lalu, dia teruskan perjalanannya. Tiba-tiba, dia menoleh ke arah saya. " Muallimah..,sakit perut banyak pulak". Aduh. Keningnya berkerut lagi. Saya kata, pergi tandas dulu. Saya terus ke bilik guru tanpa tunggu dia lagi. Sungguh, saya sendiri kepenatan. Esoknya,dia sampai ke kelas. "Muallimah, saya sakit perut". Fuh. Saya dapat tahu, dia sudah ke klinik untuk rawatan. Doktor mengesahkan, ia disebabkan angin sahaja. InshaAllah, tidak serius. Kemudian, ibunya beritahu saya, dia takut duduk dalam kelas. Dia risau dan tidak mahu belajar lama-lama.
Ada seorang lagi, seorang murid dari kelas sebelah, 1 Sa'diyah. Saya masuk sahaja kelas, belum sempat lagi beri salam. Seorang murid perempuan mengadu. Murid ini saya kategorikan antara mereka yang 'banyak mulut'. Anehnya, waktu saya mengajar, asyik tertidur. "Muallimah, dompet saya tercampak kat atas bumbung." "Yeke? Mana? "Tu". Sambil tunjuk jari ke luar tingkap. Ya, memang betul. Ada dompet di atas bumbung sekolah. Saya tanya kepadanya, "Macam mana boleh duk situ? Sapa baling?" Jawabnya, " Entahlah". Dush. Saya pun beri salam dan teruskan pengajaran. Saya jeling kepada murid perempuan tadi. Ya, dia sudah tertidur. Esoknya, dia datang jumpa saya untuk mengadu hal yang lain pula. Saya pun sudah lupa sebab tidak fokus. Katanya, muallim dah ambilkan dompetnya. Panjat guna tangga. "Baguslah, tak perlu panggil Spiderman", kata saya.
Dalam kelas yang sama. Semasa guru subjek masih belum keluar, saya sudah bersedia tunggu di luar kelas. Muallim dalam kelas panggil saya. "Muallimah, ada budak pengsan. Saya kejut tak nak bangun-bangun. Saya angkat pun, tak sedar''. Sungguh panik guru ini. Lagipun, dia guru baru. Saya pun buat benda yang sama pada murid perempuan itu. Betul, walaupun sudah dipanggil namanya berulang kali sambil menggerak-gerakkan badan, dia masih juga tidak sedarkan diri. Bibirnya sangat kering. Sekarang ini musim panas. Risau juga kami. Saya cuba telefon ibunya, memandangkan dia adalah anak kepada salah seorang guru di situ. Saya matikan panggilan lalu memanggil seorang guru senior yang berada di luar . Dia pun masuk lalu membuat perkara yang sama seperti saya dan muallim tadi. Tetapi bezanya kali ini, dia gosok-gosok dada murid tadi sambil menyebut namanya dengan lemah lembut. Murid itu pun sedar sambil tersengih-sengih. Guru senior memintanya untuk membasuh muka di tandas. Saya fikir, untuk kejutkan murid tidur pun kena ada skill nampaknya. Sebenarnya, murid perempuan tadi tertidur sebab terlalu mengantuk dan penat. Lebih-lebih lagi, waktu itu ialah tengah hari. Mereka ini belum move on lagi daripada rutin semasa tadika.
Guru juga bertugas semasa murid makan pagi. Jadi, ada yang makan sama-sama dengan muridnya untuk jimat masa. Cikgu pun lapar juga. |
Mereka berdua ini sahabat saya. Guru kelas sebelah. Sesuai sangat jadi guru tahun satu, sebab mereka pun bersaiz kecik comel je. Gurau. Mereka sedang menyantuni murid rehat pagi. |
Beralih ke kelas 1 Fatimah pula. Kelas darjah 1 ini semuanya berderet. Sebelah-sebelah. Suatu pagi, terlihat guru kelasnya sibuk membersihkan satu kawasan dalam kelas itu ."Kenapa Kak Ain? Rajin benar nampak tu." "Kucing berak Anis oii.." " MasyaAllah. Kena tutup tingkap dan pintu sebelum balik ni" "Itulah,tak sempat akak nak cek semalam." Begitulah, kerja seorang guru ini sangat 'multi skill'. Lebih-lebih lagi, kami perlu santuni anak-anak darjah satu.
Kisah paling tragis setakat hari ini. Ini pula ragam guru, bukannya murid. Huhu. Saya tersalah lihat jadual untuk ke kelas 1 Khadijah. Satu-satunya kelas yang ada pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Semuanya atas permintaan ibu bapa. Ketika itu, saya sedang enak menikmati makan tengah hari. Nasib tidak tercekik tulang ikan. Sahabat sebelah baca mesej Mudirah dalam whatsapps sekolah. Bunyinya, "Nampak Muallimah Anis? Kelas 1 K tak ada guru." Gulp. Terus saya bergegas menuju ke kelas tersebut. Di dalamnya, ada guru besar menanti. "Kenapa lambat sangat ni?" Jawab saya, "Tersalah tengok jadual''. Tersenyum kelat. Jika guru lambat masuk walaupun sesaat, murid-murid tahun satu ini suka bermain di luar kelas. Memang jadual yang kami dapat itu bersaiz kecil sahaja. Tidak jelas masanya. Kali pertama buat kesalahan ini sejak berkhidmat di sini. Rezeki sungguh hari itu. Saya terus menaip jadual itu dalam font yang lebih besar dan ditampal di board berhampiran meja.
Soalan seperti ''Bila nak balik ni, "Pukul berapa nak solat'' seringkali ditanya oleh anak-anak kecil ini setiap kali masuk kelas. Apabila seorang murid yang minta untuk ke tandas, rasanya satu kelas mahu ke tandas juga. Sama juga, jika seorang minta izin untuk minum air. Semua mahu minum air. Kalau saya minta untuk keluarkan buku, hampir 15 minit cari buku. Lagi 10 minit, masa pun dah tamat.. Apabila mahu mengajar cara menulis jawi dalam buku garis tiga, tulis hari dan tarikh sahaja yang siap. Itu pun hanya 30 %. Lain-lain masih blur untuk keluarkan buku atau pun buku tersebut tertinggal di rumah. Anak-anak ini sungguh suci sungguh murni betul agaknya. Dah macam iklan minyak masak. Guru memang perlu ingatkan anak-anak ini berulang kali. Barulah perkara tersebut masuk ke dalam memorinya dan mereka akan buat. Berapa kali perlu ingatkan? Paling kurang, 5000 kali. Banyak sungguh!
Dua murid perempuan ayu ni dari kelas saya, 1 Maryam. Mereka ini diminta perkenalkan kawannya kepada yang lain. Cerita nama, hobi dan cita-cita. Bagus, berani ke depan walaupun suara perlahan je. |
Jika guru-guru berasa penat melayan 30 lebih jumlah murid dalam satu kelas, ingatlah bahawa di setiap langkah kita ke tempat itu ada kebaikannya. Allah swt menghantar mereka kepada kita untuk kita melalui suatu proses tarbiyah. Ujian untuk kita sabar dan sabar. Jangan sesekali beranggapan masalah yang diadu oleh mereka adalah perkara remeh kerana bagi mereka, itu adalah masalah besar. Santuni mereka dalam apa jua keadaan kerana mereka juga akan menggantikan kita menjadi pemimpin dalam masyarakat kelak.
Wahai para guru, peganglah kata-kata ini di saat lelah melayan anak-anak didikmu.
Nota:
muallim=guru lelaki
muallimah=guru perempuan
tarbiyah=pendidikan
|
Comments
Post a Comment