Skip to main content

Pelangi petang

Ada apa dengan pelangi waktu petang? Kita tahu, pelangi akan muncul sekejap sahaja setelah hujan reda dan apabila mentari kembali bersinar. Indahnya warna pelangi mampu mendamaikan hati yang resah. Meskipun sebentar, namun mampu memberi berjuta pengertian kepada insan yang melihatnya. 

Setiap pertemuan di dunia ini, akan berakhir dengan sebuah perpisahan. Ada pertemuan yang boleh membuatkan kita bahagia, ada juga pertemuan yang bisa mendukakan hati kita. Setiap pertemuan itu telah ditentukan oleh Allah swt. Tidak ada satu pun pertemuan dan perpisahan yang terjadi secara kebetulan. Tidak sepatutnya muncul persoalan "suratan atau kebetulan".

Bertemu dan berpisah kerana Allah swt. Apabila berlakunya perpisahan, barulah kita mengenal erti nikmatnya ukhuwah itu. Manisnya sebuah ukhuwah kerana Allah swt. Semuanya untuk kita memahami, semua apa yang ada di dunia hanya suatu pinjaman. Berharganya sebuah pertemuan itu, apabila kita berpisah dengan orang kita yang sayang.

Semasa saya berpindah ke Bangi, saya dapat memahami bahawa peritnya sebuah perpisahan dengan sahabat yang berada di tempat lama. Saya sangat rindu dengan suasana, tempat dan orang-orang di sana. Lama juga untuk saya menyesuaikan diri dengan tempat dan suasana yang baru. Perpisahan adalah suatu yang normal dalam kehidupan. Selain itu, ia dapat mematangkan lagi seseorang itu. Saya sedar dan faham, setiap hari kita akan dekat dengan sebuah perpisahan dengan orang sekeliling kita. Semakin menua, semakin ramai manusia datang dan pergi dalam hidup kita. Kita akan tergolong antara orang yang ditinggalkan atau meninggalkan.

Perpisahan akan meninggalkan sebuah kepercayaan kepada satu perhubungan. Jika kita meninggalkan ibu ayah kita di kampung sementara kita jauh merantau mencari rezeki, kita pasti akan pulang kerana sebuah kepercayaan kita kepada mereka. Semoga kita tidak akan pernah lupa pada jasa orang tua. Tatkala hati bersedih dan menangis apabila terpaksa berjauhan dengan sahabat tersayang, kita percaya ukhuwah kita bukan pada jasad tetapi hati. Walaupun mereka jauh di mata, tetapi mereka sentiasa dalam hati. Paling istimewa, kita hadiahkan mereka dengan mendoakan mereka setiap detik. Saya pernah meyakinkan pada sahabat yang pernah bersama-sama ketika dahulu, bahawa dia telah berada di dalam hati saya, di tempat yang paling istimewa.

Manusia akan mudah lupa pada kisah sedih atau gembira seiring dengan waktu berputar. Hari ini kita mungkin rasa berat hati untuk meninggalkan orang yang kita sayang, lama - kelamaan kita akan lupa pada mereka. Perkara ini akan meruntuhkan sebuah perhubungan. Sentiasa hubungi mereka. Ingatlah selalu kebersamaan kita dengannya pada masa lalu. Mengapa kita sentiasa rindu pada seseorang yang kita sayang? Pasti, ada sebuah memori indah yang pernah kita lalui bersamanya. Saya sentiasa merindukan saat-saat manis bersama sahabat saya.  Kami masak dan makan bersama-sama, keluar berkelah di tepi pantai dan banyak lagi kenangan indah bersamanya. Setelah terpisah sekian lama, manisnya saat ketika ingin bertemunya lagi. Meskipun kami tidak punya masa yang banyak untuk dinikmati bersama, namun saya yakin dan percaya kepada ukhuwah yang terbina kerana Allah swt. Walaupun jasadnya tiada di depan mata, tetapi dia sentiasa bersama saya ketika susah dan senang. InshaAllah.


Daripada Sayyidina Anas r.a daripada Nabi s.a.w bersabda:
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak akan beriman seseorang pun di kalangan kamu (secara sempurna) sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Hidup ini tidak pernah lari daripada ujian. Hadirnya seseorang dalam hidup kita adalah untuk mendidik kita menjadi lebih baik. Kita suka atau benci pada seseorang itu, pertemuan kita dengannya pasti terkandung beribu hikmah. Semua ujian daripadaNya adalah untuk mendapatkan darjat yang tinggi disisiNya. Sewaktu perpisahan yang berlaku dalam hidup saya, saya cuba memujuk hati bahawa Allah swt akan menggantikan saya dengan sesuatu yang lebih baik. Kita bukannya kehilangan orang yang kita sayang, kita masih lagi boleh meneruskan perhubungan dengan mereka. Perpisahan pasti juga akan terjadi dengan sebuah kematian. Jika kita tidak dapat bertemu lagi di dunia, doakan supaya dapat bersama di syurga nanti. Sahabat yang baik pasti akan mendoakan sahabatnya yang lain. Perbanyakkan teman yang soleh dan solehah kerana mereka mutiara di dunia dan saham berharga di akhirat kelak.

Wahai sahabat-sahabat yang baik, jadikanlah perpisahan itu sebagai satu penguat semangat untuk terus hidup agar perpisahan itu menjadi lebih bermakna. Pesanan buat diri saya dan orang-orang yang pernah mengalaminya.



Every time I close my eyes I see you in front of me
I still can hear your voice calling out my name
And I remember all the stories you told me
I miss the time you were around
I miss the time you were around
But I'm so grateful for every moment I spent with you
'Cause I know life won't last forever
(So soon by Maher Zain)


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Penutup 2024

Sedikit coretan untuk diri sendiri terutamanya. Sebagai muhasabah diri untuk terus bertahan di jalan hidup masing-masing.  Pertama, kita perlu yakin dan berani apa saja yang kita buat pasti akan dapat balasannya suatu hari nanti. . Kebaikan mahupun kejahatan semua diambil kira dan dicatat. Jadi, jangan pernah berkira dengan membuat kebaikan . Buatlah baik semampu kita. Buat jahat jangan sekali.  Next, apa sahaja halangan, ujian ataupun kita nak best sikit kita sebut cabaran hidup yang kita hadapi, bergantung kuatlah hanya pada Allah . Jangan pernah berharap pada makhluk. Apabila namanya makhluk ciptaan, mereka sendiri juga perlukan sesuatu untuk berpaut. Kita ni asalnya lemah dan selamanya lemah. Jangan bermimpi nak jadi kuat. Betul, Allah akan hadirkan manusia-manusia lain di sekeliling kita tetapi bukannya pergantungan 100% kepada mereka. Berdoa dan berharap hanya pada Allah. Kita hanya perlukan sedikit nasihat dan sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat. Selebihnya, h...

Patau

Bismillah. Lama sungguh saya tidak menjenguk blog ini. Coretan kali ini ialah sekadar catatan pengalaman dalam hidup di dalam dunia fana ini untuk tatapan hari tua nanti. Tahun 2024 tahun ujian buat saya dan keluarga kecil kami. Sungguh berat sekali ujian ini.  Hujung december lepas, 2023 saya disahkan hamil buat kali ketiga. Rancangnya, ini adalah kandungan saya yang terakhir disebabkan saya akan elective czer buat kali ketiga. Dan, akan memandulkan diri sendiri dengan kaedah pemandulan kekal iaitu ikat peranakan atau bilateral tubal ligation (btl).  Apabila kandungan masuk 23-25 minggu, saya akan buat detail scan untuk setiap anak untuk memastikan keadaan baby sihat dan normal sebaik saja dilahirkan. Keputusan mendapati ada beberapa abnormal pada otak, jantung dan juga buah pinggang. Doktor atau sonografer di klinik swasta mencadangkan untuk buat detail scan buat kali kedua dalam masa dua minggu lagi. Waktu ini, saya tidak begitu risau tentang ini kerana anak kami sebel...

Asma' bebel.

Setiap malam,sebelum tidur dan selepas lampu rumah dipadamkan, Asma' akan mula bercerita. Pillow talk la konon. Dia akan cerita apa yang dia buat hari ni,apa yang dia akan buat bila bangun pagi, ada juga perkara lama yang dia ulang cerita.  Malam tadi,dia bertanya lagi tentang baby Awatif. Seperti dia merindukan adiknya yang tak sempat dia tatap dan sentuh itu. Aku mula rasa sedikit hiba.  Aku mula mengenangkan nasib anak murid kami yang kehilangan ibu ayah dan ahli keluarganya sekelip mata dalam kemalangan. Ingin sekali aku berkata pada Asma', bukan kita saja diuji Allah. Ada juga orang lain yang diuji sesuai dengan kemampuan mereka.  Bahkan lebih besar ujian mereka. Yakinlah dengan janji Allah itu, di syurga pasti akan bersatu kembali.