Skip to main content

Sabar dan redha

Assalamulaikum dan selamat pagi. Syukur pada Allah kerana masih lagi beri peluang untuk kita berpijak di atas muka buminya bagi meneruskan baki usia yang semakin singkat.

Suatu hari saya melangkah masuk ke kelas 3 Maryam. Belum sempat lagi saya beri salam, seorang murid perempuan tanya saya,''Muallimah, apa beza sabar dan redha?'' Saya agak kagum dengan soalannya. Saya pun terangkan dengan ringkas kerana keadaan kelas pada ketika itu agak bising.

Sabar dan redha adalah suatu sifat yang perlu ada pada orang mukmin. Sabar biasanya kita menahan diri daripada melakukan perkara yang Allah murka apabila berhadapan dengan situasi yang kita tidak suka. Orang yang sabar dalam keadaan marah dapat menahan dirinya daripada marah. Sabar bukan maksud kita menerima keadaan itu. Tetapi kita memilih untuk tahan seketika dan berfikir tindakan seterusnya. Contoh, ketika ada pelajar yang tidak bawa buku ke sekolah setiap hari. Tambahan pula, pelajar tersebut tidak fokus semasa saya mengajar dan bercakap-cakap dengan rakan sebelahnya. Perasaan saya ketika itu sangat menyampah dan marah saya membuak-buak. Sudah lama saya bersabar dengan murid ini. Tanpa berfikir panjang, saya mengambil pemadam papan putih lalu membaling ke arah pelajar itu. Saat itu, saya tidak punya lagi kesabaran. Saya tewas. Waktu ini, saya tidak sabar. Bagaimana tindakan orang yang sabar? Tegur dan beri nasihat secara berterusan. 

Redha adalah menerima setiap keadaan yang telah ditentukan oleh Allah setelah sedaya upaya berusaha untuk dapatkan sesuatu. Redha dengan perpisahan. Redha dengan pasangan. Redha kita terletak pada redha kedua ibu bapa. Redha seorang isteri terletak pada suaminya.  Terima perkara yang sudah terjadi. Kemudian, teruskan hidup seperti biasa dan buat yang terbaik pada masa hadapan. Tidak perlu rasa sedih dan kecewa dengan kisah yang lalu. Masa yang lalu tidak akan pernah kembali. Kata Ustaz Pahrol, berdamailah dengan masa lalu. Dengan itu, kita akan lebih tenang dan bahagia. 

Sahabat semua, apa masalah yang kita hadapi sekarang? Cuba tanya pada diri kita? Setiap hari bos kita marah kita sebab tidak berpuas hati dengan kerja? Setiap hari ibu-ibu terpaksa menjerit kepada anak-anaknya yang tidak mendengar kata? Setiap hari kita terpaksa menghadap jalan yang sesak ke tempat kerja? Macam-macam masalah kita ada. Jawapan mudah, kalau tidak ada masalah bukan hidup namanya. Jika orang tersebut tidak ada masalah dalam hidupnya, pasti dia sudah mati. Mayat hidup barangkali. Dunia tempat ujian. Yakin dengan dengan janji Allah bahawa syurga sedang menanti. Luluslah ujian di dunia yang hanya sebentar cuma. Jika saya sedang berumur 30 tahun, maksudnya saya akan menghadapi ujian hidup lebih kurang 20 tahun lagi. Lama sangatkah 20 tahun? Itu pun kalau sempat hidup lagi ketika berusia 50 tahun. Sekarang ini ramai yang meninggal peringkat umur 40 tahun ke atas. Antara penyebab utama ialah stress dan serangan jantung. Kebanyakannya daripada kaum lelaki. Gaya hidup juga main peranan. Kita tahu, umat Nabi Muhammad saw meninggal sekitar umur 63 tahun sahaja. Sama umur dengan kewafatan Baginda. Oleh itu, untuk apa kita bersedih dengan dunia yang bakal kita tinggalkan? Bisik pada hati, dunia ini hanya secebis. Ibarat cebisan kain yang tiada harga. 

Sahabat yang saya sayangi, pilih untuk bersabar dalam apa jua situasi. Fikir secara rasional. Jika kita menghadapi ancaman daripada perbuatan manusia, jangan pula memilih untuk bersabar. Sekiranya ada suami yang setiap hari kerjanya sepak terajang si isteri, tidak perlu si isteri bersabar sahaja. Buat laporan dan ambil tindakan selanjutnya. Seperti biasa, timbalah ilmu sebanyak mungkin. Jika tidak tahu, tanya pada yang berpengalaman dan selayaknya. Semakin kita belajar, semakin kita tidak tahu. Hal ini disebabkan apabila kita belajar, kita baru sedar bahawa banyak lagi perkara yang kita tidak tahu. Kita manusia, fitrahnya lemah dan memerlukan pergantungan hanya pada Allah. Jangan lupa senjata utama kita ialah doa

Redha pula ialah pilihan ketika kita sudah tidak berdaya lagi untuk mengubah sesuatu. Redha dengan takdir Allah. Setuju dengan keputusan yang dikurniakan olehNya. InshaAllah, setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Kelas SPAIM yang saya sertai ini membuat saya terus ingin belajar menjadi seorang murabbi yang lebih baik. Kadang-kadang, saya merasa rendah diri apabila bersama dengan mereka yang sudah berpengalaman mengajar belasan tahun. 

Rakan memanah saya, Kak Khairiah. Beliau sentiasa bersemangat dan komited dengan tugas. Saya tahu beliau sudah melalui pelbagai cabaran dalam hidupnya yang membentuk peribadinya pada hari ini. Secara tidak langsung, saya terinspirasi dengan semangat beliau.


Comments

Popular posts from this blog

Asma' bebel.

Setiap malam,sebelum tidur dan selepas lampu rumah dipadamkan, Asma' akan mula bercerita. Pillow talk la konon. Dia akan cerita apa yang dia buat hari ni,apa yang dia akan buat bila bangun pagi, ada juga perkara lama yang dia ulang cerita.  Malam tadi,dia bertanya lagi tentang baby Awatif. Seperti dia merindukan adiknya yang tak sempat dia tatap dan sentuh itu. Aku mula rasa sedikit hiba.  Aku mula mengenangkan nasib anak murid kami yang kehilangan ibu ayah dan ahli keluarganya sekelip mata dalam kemalangan. Ingin sekali aku berkata pada Asma', bukan kita saja diuji Allah. Ada juga orang lain yang diuji sesuai dengan kemampuan mereka.  Bahkan lebih besar ujian mereka. Yakinlah dengan janji Allah itu, di syurga pasti akan bersatu kembali.

Bertumbuh

Bertumbuh ialah salah sebuah buku yang saya baca. Ianya dipinjam daripada seorang sahabat. Buku ini sejenis buku motivasi santai ditulis oleh penulis dari Indonesia. Saya pun tak catat pula nama beliau. Saya baca dalam penghujung tahun lepas.  Saya ingin berkongsi serba sikit berkenaan kandungan atau ilmu yang ada dalam buku tersebut. Kata penulis, kita tak perlu berubah menjadi orang yang lain. Sebab, lama-kelamaan kita akan jadi seperti kita yang dulu juga. Iaitu yang hina, malas, sombong, syok sendiri, angkuh dan lain lain.  Perkara yang kita perlu buat ialah bertumbuh. Dalam konteks, menjadikan masalah dan pengalaman dalam hidup kita untuk fokus pada matlamat, jiwa jadi besar, tidak mudah mengalah, matang, berani, dan banyak lagi nilai positif yang lain. Bertumbuh itu besar, besar amal, besar ikhtiar, besar tawakal dan syukur pada Allah. Kita tidak pernah terlambat untuk melakukan semua itu . Ciri-ciri bertumbuh yang ditulis dalam buku ini ada lima. Satu...

Muhasabah

Apabila lihat kembali ke belakang, banyak perkara yang berlaku adalah ketetapan terbaik buat diri saya. (mungkin juga buat kita semua). Saya sedar, Allah sebaik-baik Perancang. Ketika saya sudah putus asa, tidak mahu lagi berusaha dan merancang ,tetapi Allah tak pernah berhenti merancang untuk saya. Tugas saya ialah, menerima dengan hati terbuka bahawa semuanya ada hikmah. Ada kebaikan di sebalik kejadian. Susah hidup sekarang,susah lagi hidup mak ayah saya dulu. Memang cabarannya tidak sama. Namun, ingatlah wahai Anis, Allah uji sesuai dengan kemampuan kita. Susah hidup saya sekarang,ramai lagi orang susah di luar sana. Tak ada makanan,rumah tak ada air dan elektrik. Tandas pun tak ada. Kata Ustaz Ebit, "apa saya nak jawab depan Allah nanti?". Saya wajibnya bersyukur. Menangisi benda yang belum ada, sedangkan banyak lagi nikmat lain Allah bagi. Orang kata, kita kena syukur nikmat yang kecik-kecik dulu sebelum yang lebih besar. Contoh, bekalan oksigen yang kita dapat. Ki...