Skip to main content

Orang beriman selalu diuji

Bismillah..assalamualaikum. Semoga semua baik-baik sahaja. Rasa syukur dipanjatkan kepada Allah swt kerana masih diberi peluang untuk terus hidup di dunia ini. Selagi kita hidup, selagi itu kita akan terus diuji. Apabila kita beriman padaNya, kita pasti akan diuji untuk membuktikan keimanan kita hanyalah kepada Dia Yang Maha Esa. Allahuakbar. 

Sudah dua hari saya mula bekerja bagi sesi 2020 walaupun kita belum lagi masuk ke dalam tahun itu. Kerja seorang guru memang semakin hari semakin mencabar. Apabila dunia semakin maju, penggunaan ICT sangat diketengahkan dalam semua pendokumentasian. Ianya termasuklah pengisian data murid, keputusan ujian atau segala bagai pentaksiran di sekolah. Impaknya, kerja guru makin bertambah. Kata-kata, guru itu adalah kerani, doktor, jururawat atau 'cleaner' semakin saya hadam. Semua kerja di dunia ini adalah milik seorang guru. Bunyinya agak hebat juga. Di situlah,  ujian untuk kami dalam mendidik anak bangsa. 

Setelah pulang daripada cuti sekolah, ada dua kerja yang saya masih belum siapkan. Pertama, minit mesyuarat postmortem panitia syariah. Kedua, pengisian markah konstruk PKPIM. Tugas pertama itu saya berjaya siapkan pada hari pertama masuk bekerja. Itu pun saya terpaksa taip dua kali. Kali pertama taip, saya sudah 'save' tetapi apabila nak di 'print', dokumen tersebut tiada disimpan. Alhamdulillah, ianya berjaya dihantar kepada KP (ketua panitia) saya pada hari yang sama. 

Pengisian markah konstruk PKPIM adalah perkara baru bagi guru sekolah swasta macam kami. Sebelum ini, ianya dicatat dalam sebuah buku yang telah disediakan. Namun, kali ini kami harus masukkan semua markah dalam buku tersebut ke dalam satu portal satu persatu. Konstruk ini termasuklah bacaan solat, budi bahasa, pemuliharaan, sikap murid terhadap ahli keluarga dan lain-lain. Seorang guru ada 15 atau 16 murid yang perlu diisi. Jadi, saya bersama sahabat saya, Farhani 'stayback' sehingga waktu Asar di sekolah untuk menyiapkan kerja tersebut. Kami ingin sambung lagi dalam 5 buku berbaki pada hari esoknya. 

Orang beriman memang selalu diuji. Kata-kata ini saya dapat daripada Kak Salmi dalam satu usrah semasa mengajar di Kuantan dahulu. Saya pegang pada kata-kata ini setiap kali mengalami kesusahan dalam hidup saya. Saya pujuk hati bahawa Allah uji sebab Dia sayang. Esoknya, apabila saya ingin menyambung kerja, laptop saya tidak boleh dibuka. Rosak. Saya teringat, beg saya yang berisi laptop ini terjatuh dari sofa pagi itu. Mungkin sebab itu laptop itu 'merajuk' dan tidak mahu bekerja untuk saya lagi. Saya siapkan kerja saya menggunakan komputer sekolah. Alhamdulillah selesai jua.

Begitulah Allah sentiasa hadirkan cabaran dalam hidup kita. Bezanya, cabaran ini sudah terbiasa bagi saya. Jadi, saya lebih tenang menghadapinya. Kisah laptop rosak ini sering berlaku sejak kita belajar lagi. Waktu dia rosak ialah waktu-waktu kritikal seperti ketika nak buat pembentangan, slide dijangkiti virus, pendrive hilang, ketika nak hantar tugasan dan banyak lagi. Apabila kita sudah bersedia hadapi situasi begini, ianya sudah biasa bagi kita. Kita perlu sentiasa bersedia dan cari solusi dengan tenang. Move on. 

Buku PKPIM (Pentaksiran Konstruk Pelajar Ikram Musleh) dari tahun 1 hingga 6.

Comments

Popular posts from this blog

Pahala freedom

Banyak kali dah saya mencari sesuatu nak buat supaya dapat pahala berterusan walaupun saya dah mati nanti. Dalam kelas pun, saya terangkan kepada murid tentang ini sebab ada tajuk yang berkaitan. Ada topik tentang mengingati mati dan juga tentang amal jariah dalam menuntut ilmu.  Kita tak selamanya hidup di dunia ini. Suatu masa akan pergi dan tak mampu lagi nak buat ibadah seperti waktu hidup. Terputus semua amalan kecuali tiga perkara iaitu doa anak soleh, ilmu bermanfaat dan sedekah atau infaq. Semua orang nak financial freedom, tapi kadang-kadang tidak terfikir untuk dapat pahala freedom ini.  Apa yang saya dah ada sekarang dan akan cuba lagi buat yang terbaik: 1-Ada anak soleh solehah, usaha dan doa supaya di didik menjadi anak yang boleh mendoakan ibu bapa buat selamanya.  2- Jadi guru, ajar ilmu yang baik. Buat yang terbaik dan jangan sambil lewa.  3. Guru Al-Quran, ajar betul-betul anak murid supaya boleh baca Quran dengan baik. Ajar anak sendiri juga.  ...

Bila bangun pagi

Bagaimana tidur anda semalam? Lena atau tidak. Apa pun,ucapkanlah syukur kerana diberi peluang lagi untuk terus hidup pada hari ini.  Bacalah doa bangun tidur yang anak-anak kita sudah hafal sejak tadika lagi. "Segala puji bagi Allah yang telah membangunkan kami setelah menidurkan kami dan kepadaNyalah kami dibangkitkan." Anak-anak kat sekolah biasanya baca doa sebelum saja,doa sebelum makan, sebelum tidur, sebelum masuk tandas. Doa yang selepas perbuatan biasanya mereka lupa sebab tidak dibaca. Begitulah, hafal tapi tak diamalkan. Lama-lama lupa.  Jadi,amalan mudah yang kita boleh buat,kita buatlah setiap hari. Rugilah jika tak diamalkan.  Semangat! Semangat! 

Asma' bebel.

Setiap malam,sebelum tidur dan selepas lampu rumah dipadamkan, Asma' akan mula bercerita. Pillow talk la konon. Dia akan cerita apa yang dia buat hari ni,apa yang dia akan buat bila bangun pagi, ada juga perkara lama yang dia ulang cerita.  Malam tadi,dia bertanya lagi tentang baby Awatif. Seperti dia merindukan adiknya yang tak sempat dia tatap dan sentuh itu. Aku mula rasa sedikit hiba.  Aku mula mengenangkan nasib anak murid kami yang kehilangan ibu ayah dan ahli keluarganya sekelip mata dalam kemalangan. Ingin sekali aku berkata pada Asma', bukan kita saja diuji Allah. Ada juga orang lain yang diuji sesuai dengan kemampuan mereka.  Bahkan lebih besar ujian mereka. Yakinlah dengan janji Allah itu, di syurga pasti akan bersatu kembali.