Skip to main content

Keadaan yang memaksa

Keadaan persekitaran sangat mempengaruhi tingkah laku seseorang. Jika kita belajar teori perkembangan kanak-kanak, faktor yang sangat mempengaruhi perkembangan ialah faktor baka dan persekitaran. Namun, apabila seseorang itu telah meningkat dewasa, keadaan persekitaran banyak mengubah sikap seseorang itu. Contoh, anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang berpecah belah, memberi kesan emosi kepada mereka. Mereka mungkin akan menjadi pendiam, pendendam dan pemarah. Sebalikya, anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang penuh kasih sayang, akan melahirkan anak yang bertimbang rasa dan berakhlak mulia. Faktor baka hanya mewarisi bentuk fizikal daripada ibu bapa seperti rupa paras, intelek atau sesetengah penyakit. Selebihnya, keadaan sekeliling yang banyak menyumbang kepada perubahan tingkah laku dan emosi mereka. 

Apabila kita berhadapan dengan cabaran dalam hidup, dengan tidak sengaja kita telah berjaya mengembangkan potensi diri. Ketika berdepan dengan suatu tekanan, kita akan terpaksa untuk menghadapi keadaan tersebut oleh sebab tiada pilihan lagi yang boleh dibuat. Kisah mudah yang biasa kita dengar, seorang wanita lemah berjaya menyelamatkan diri apabila dikejar anjing gila. Jika difikirkan logik, wanita ini yang berpewatakan sopan santun tidak mungkin berlari dengan pantas dan melompat parit yang besar. Namun, dia terpaksa berbuat sedemikian untuk lari daripada digigit anjing gila. Justeru, wanita tadi bukan lagi seorang yang lemah, tetapi seorang yang mampu lari 100 meter dalam masa 15 saat sahaja. Sebenarnya, begitulah hikmah Allah swt hadirkan ujian dalam hidup kita supaya kita bukan lagi berada ditakuk lama. Sungguh seronok berada di zon selesa kerana sifat manusia itu tidak suka kepada pembaharuan dan perubahan dalam hidup mereka. 


A155 

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

Kisah wanita dikejar anjing tadi adalah contoh keadaan yang memaksa dirinya menjadi seorang yang lebih baik. Keadaan positif. Ada juga keadaan yang memaksa diri seseorang itu berubah menjadi kurang baik. Ianyanya disebabkan keadaan yang negatif atau persekitarannya kurang baik. Saya juga selalu tewas dengan keadaan yang mengubah diri saya menjadi seolah-olah seperti orang lain. Rupanya, apabila Allah swt meletakkan kita berada dalam bentuk situasi yang belum kita rasa, secara kita tidak sedar sifat kita yang lain telah muncul dalam diri kita. Hakikatnya, ujian itu juga untuk kita kenal diri sendiri untuk kenal Pencipta. Rutin saya dan suami ialah bangun awal pagi, bersarapan seawal selepas Subuh, siapkan anak dan diri sendiri, kemudian pergi ke tempat kerja. Oleh sebab pejabat suami saya agak jauh dari rumah, beliau terpaksa keluar seawal 7 pagi. Beliau akan menunggang motosikal ke stesen MRT, naik MRT, kemudian naik bas untuk ke pejabat. Ianya memakan masa lebih kurang 2 jam setengah untuk tiba di pejabat. Saya pula akan menghantar anak ke taska dan kemudian terus ke tempat kerja. Ianya hanya memakan masa lebih kurang 15 minit sahaja. Suami saya akan tiba di rumah semula pada lewat malam. Kadang-kadang, pada waktu itu saya dan anak telah pun tidur. Keadaan ini berlangsung selama beberapa bulan. Lama-kelamaan, ianya menyebabkan kami stress dan kurangnya komunikasi antara kami. Jurang itu makin lama makin jauh. Setelah itu, kami berbincang dan mengambil beberapa langkah untuk membaik pulih semula keadaan ini.  Sepanjang keadaan ini berlaku, saya menjadi seorang yang kurang bercakap di rumah berbanding di tempat kerja. Perubahan ini adalah satu perubahan negatif dan perlu diuruskan dengan baik. 

Allah swt telah berjanji bahawa Dia akan menguji kita dengan sedikit perasaan takut, risau, sedih, kecewa dan berbagai lagi perasaan. Setiap kesusahan yang kita alami akan dikurniakan ganjaran pahala untuk kita. Kadang-kadang, kita sering dihambat dengan perasaan terlalu  takut dan risau tentang perkara yang belum pun berlaku. Kita fikir, ''kalau aku mati, siapa yang akan tengok-tengokkan kucing dan ayam aku di rumah? Siapa yang siram pokok bunga tepi rumah tu jika aku mati esok? Anak-anak aku macam mana? Siapa nak jaga?'' Begitulah segala macam persoalan yang timbul jika kita tidak meletakkan Allah swt di hadapan kita. Berusaha memberikan yang terbaik, namun setelah itu berserah dan tawakal hanya pada Tuhan. Tidak perlu kita risau tentang masa lalu atau masa akan datang. Hargailah masa sekarang kerana ia juga bakal menjadi masa lalu kita. 

Sahabat-sahabat yang disayangi, kita harus bijak menghadapi semua situasi dan cabaran dalam hidup. Jangan biarkan keadaan tersebut memaksa kita menjadi seorang yang kurang baik. Ingat, setiap keadaan yang kita hadapi adalah suatu ujian daripada Allah swt. Apabila kita menduduki ujian, pasti kita ingin lulus dan dapat hadiah daripada cikgu. Hadiah kali ini pula adalah paling bernilai iaitu, pahala dan SYURGA. 

Azzam tengah berkerut nak nangis. Ingat, anak dan harta juga sebuah ujian. 


Comments

Popular posts from this blog

Asma' bebel.

Setiap malam,sebelum tidur dan selepas lampu rumah dipadamkan, Asma' akan mula bercerita. Pillow talk la konon. Dia akan cerita apa yang dia buat hari ni,apa yang dia akan buat bila bangun pagi, ada juga perkara lama yang dia ulang cerita.  Malam tadi,dia bertanya lagi tentang baby Awatif. Seperti dia merindukan adiknya yang tak sempat dia tatap dan sentuh itu. Aku mula rasa sedikit hiba.  Aku mula mengenangkan nasib anak murid kami yang kehilangan ibu ayah dan ahli keluarganya sekelip mata dalam kemalangan. Ingin sekali aku berkata pada Asma', bukan kita saja diuji Allah. Ada juga orang lain yang diuji sesuai dengan kemampuan mereka.  Bahkan lebih besar ujian mereka. Yakinlah dengan janji Allah itu, di syurga pasti akan bersatu kembali.

Bertumbuh

Bertumbuh ialah salah sebuah buku yang saya baca. Ianya dipinjam daripada seorang sahabat. Buku ini sejenis buku motivasi santai ditulis oleh penulis dari Indonesia. Saya pun tak catat pula nama beliau. Saya baca dalam penghujung tahun lepas.  Saya ingin berkongsi serba sikit berkenaan kandungan atau ilmu yang ada dalam buku tersebut. Kata penulis, kita tak perlu berubah menjadi orang yang lain. Sebab, lama-kelamaan kita akan jadi seperti kita yang dulu juga. Iaitu yang hina, malas, sombong, syok sendiri, angkuh dan lain lain.  Perkara yang kita perlu buat ialah bertumbuh. Dalam konteks, menjadikan masalah dan pengalaman dalam hidup kita untuk fokus pada matlamat, jiwa jadi besar, tidak mudah mengalah, matang, berani, dan banyak lagi nilai positif yang lain. Bertumbuh itu besar, besar amal, besar ikhtiar, besar tawakal dan syukur pada Allah. Kita tidak pernah terlambat untuk melakukan semua itu . Ciri-ciri bertumbuh yang ditulis dalam buku ini ada lima. Satu...

Muhasabah

Apabila lihat kembali ke belakang, banyak perkara yang berlaku adalah ketetapan terbaik buat diri saya. (mungkin juga buat kita semua). Saya sedar, Allah sebaik-baik Perancang. Ketika saya sudah putus asa, tidak mahu lagi berusaha dan merancang ,tetapi Allah tak pernah berhenti merancang untuk saya. Tugas saya ialah, menerima dengan hati terbuka bahawa semuanya ada hikmah. Ada kebaikan di sebalik kejadian. Susah hidup sekarang,susah lagi hidup mak ayah saya dulu. Memang cabarannya tidak sama. Namun, ingatlah wahai Anis, Allah uji sesuai dengan kemampuan kita. Susah hidup saya sekarang,ramai lagi orang susah di luar sana. Tak ada makanan,rumah tak ada air dan elektrik. Tandas pun tak ada. Kata Ustaz Ebit, "apa saya nak jawab depan Allah nanti?". Saya wajibnya bersyukur. Menangisi benda yang belum ada, sedangkan banyak lagi nikmat lain Allah bagi. Orang kata, kita kena syukur nikmat yang kecik-kecik dulu sebelum yang lebih besar. Contoh, bekalan oksigen yang kita dapat. Ki...