Skip to main content

Ibrah memanah

Memanah merupakan sukan yang disukai oleh Nabi saw. Sukan amat penting untuk memberi kekuatan pada jasmani. Abu Hurairah berkata; “Rasulullah SAW bersabda: ‘Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Satu masa Nabi saw pernah berjalan-jalan, kemudian jumpa sekumpulan sahabatnya yang sedang mengadakan pertandingan memanah, lalu Nabi saw memberi sokongan dengan sabdanya,''Lemparkanlah panahmu itu, saya bersamamu.''(Riwayat bukhari). Sukan memanah adalah kesukaan Nabi saw dan ianya sunnah Nabi saw. 

Sudah dua tahun saya mengiringi pelajar memanah mengikuti pertandingan memanah peringkat antarabangsa yang dianjurkan sendiri oleh pusat. Dalam satu perkongsian malam bersama pelajar, seorang guru memberi sedikit motivasi kepada para pelajar. Beliau menegaskan bahawa setiap anak panah yang dilepaskan, kita akan dapat satu pahala. Ganjaran pahala yang dikurniakan Allah swt tidak mengambil kira anak panah tepat terkena sasaran atau tidak. Apabila ianya disebut sunnah, Nabi saw suka dan buat, maka di situ ada pahala yang kita dapat. Jadi, jangan risau jika sasaran belum lagi mengena atau tepat. Memanah hanya satu cara untuk kita bersiap sedia menghadapi pihak musuh, namun Allah swt sahajalah yang berkuasa membunuh mereka. Oleh itu, peranan kita ialah berusaha. Sasaran tepat atau tidak itu adalah kuasa Allah swt.  


Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. 

(Surah al-Anfal: 17)


Terdapat hadis yang lebih jelas menunjukkan kepentingan sukan memanah, berkuda dan berenang misalnya daripada Uqbah bin Amir, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar: Maksudnya: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah),” (Riwayat Muslim).

Menerusi hadis ini, Rasulullah SAW menyuruh umatnya mencari kekuatan yang mana ia terdapat dalam sukan memanah. Sukan memanah ini boleh dikaitkan secara langsung dengan kekuatan hati, akal dan jasad. Seseorang yang memanah menggunakan mata hatinya menjadikannya lebih yakin dan tenang manakala akal yang fokus melahirkan pemikiran yang tajam. Malah dari segi jasad pula, sekiranya busur panah itu ditarik dengan kaedah yang betul, ia mampu memberi kelegaan kepada badan. Ia menunjukkan setiap sunnah itu ada hikmah dan setiap hikmah itu ada karamah atau keistimewaannya yang kita tidak tahu. Sukan memanah juga boleh dikaitkan dengan ibadah solat yang mana pergerakan solat itu sendiri mempamerkan ilmu seni mempertahankan diri.
Pergerakan dalam solat itu sendiri, jika diamati adalah ilmu seni mempertahankan diri. Apabila mengangkat takbir, ia tanda mengagungkan kekuasaan manakala sujud pula sebagai tanda menghambakan diri kepada Allah SWT. Jadi apabila ingin melakukan panahan, digalakkan untuk melaungkan takbir seperti mana yang diamalkan oleh Sahabat RA ketika memanah dalam perang. Begitu juga apabila memanah, ia mengajar kita menjadi lebih fokus. Apabila dipraktikkan dalam solat, ia membantu untuk khusyuk.
Rasulullah SAW menyuruh umatnya menguasai kemahiran memanah bukan untuk bersukan saja tapi juga sebagai persediaan untuk masa depan. Dalam peperangan di zaman Rasulullah SAW, memanah adalah simbol yang menjadi kekuatan dan tunjang utama kepada tentera Islam.
Mengambil kisah daripada Perang Uhud, Rasulullah SAW mengarahkan briged memanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair supaya terus bertahan di Bukit Uhud. Namun disebabkan mengingkari arahan Rasulullah SAW, tentera Islam mengalami kekalahan walaupun ketika itu sudah di ambang kemenangan.
Apabila melihat ghanimah (harta rampasan perang) yang banyak, tentera Islam turun daripada Bukit Uhud dan mengingkari arahan Rasulullah SAW. Tentera musuh yang diketuai oleh Khalid al-Walid menyedari pertahanan tentera Islam sudah longgar dan menyerang kembali. Ia menyebabkan tentera Islam mengalami kekalahan dan 70 pejuang Islam syahid. 





Saya sendiri tidak tahu kemahiran memanah. Namun, apabila telah diamanahkan untuk menjadi guru pembimbing kelab memanah tradisional sekolah (MeTra), dapatlah saya belajar daripada jurulatihnya yang hebat. Alhamdulillah. 

sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/12/510373/memanah-sebagai-sukan-dan-simbol-kekuatan-tentera-islam 

p/s: Artikel ini diambil daripada rencana dalam berita harian dan telah diolah oleh penulis. 






Comments

Popular posts from this blog

Pahala freedom

Banyak kali dah saya mencari sesuatu nak buat supaya dapat pahala berterusan walaupun saya dah mati nanti. Dalam kelas pun, saya terangkan kepada murid tentang ini sebab ada tajuk yang berkaitan. Ada topik tentang mengingati mati dan juga tentang amal jariah dalam menuntut ilmu.  Kita tak selamanya hidup di dunia ini. Suatu masa akan pergi dan tak mampu lagi nak buat ibadah seperti waktu hidup. Terputus semua amalan kecuali tiga perkara iaitu doa anak soleh, ilmu bermanfaat dan sedekah atau infaq. Semua orang nak financial freedom, tapi kadang-kadang tidak terfikir untuk dapat pahala freedom ini.  Apa yang saya dah ada sekarang dan akan cuba lagi buat yang terbaik: 1-Ada anak soleh solehah, usaha dan doa supaya di didik menjadi anak yang boleh mendoakan ibu bapa buat selamanya.  2- Jadi guru, ajar ilmu yang baik. Buat yang terbaik dan jangan sambil lewa.  3. Guru Al-Quran, ajar betul-betul anak murid supaya boleh baca Quran dengan baik. Ajar anak sendiri juga.  ...

Bila bangun pagi

Bagaimana tidur anda semalam? Lena atau tidak. Apa pun,ucapkanlah syukur kerana diberi peluang lagi untuk terus hidup pada hari ini.  Bacalah doa bangun tidur yang anak-anak kita sudah hafal sejak tadika lagi. "Segala puji bagi Allah yang telah membangunkan kami setelah menidurkan kami dan kepadaNyalah kami dibangkitkan." Anak-anak kat sekolah biasanya baca doa sebelum saja,doa sebelum makan, sebelum tidur, sebelum masuk tandas. Doa yang selepas perbuatan biasanya mereka lupa sebab tidak dibaca. Begitulah, hafal tapi tak diamalkan. Lama-lama lupa.  Jadi,amalan mudah yang kita boleh buat,kita buatlah setiap hari. Rugilah jika tak diamalkan.  Semangat! Semangat! 

Asma' bebel.

Setiap malam,sebelum tidur dan selepas lampu rumah dipadamkan, Asma' akan mula bercerita. Pillow talk la konon. Dia akan cerita apa yang dia buat hari ni,apa yang dia akan buat bila bangun pagi, ada juga perkara lama yang dia ulang cerita.  Malam tadi,dia bertanya lagi tentang baby Awatif. Seperti dia merindukan adiknya yang tak sempat dia tatap dan sentuh itu. Aku mula rasa sedikit hiba.  Aku mula mengenangkan nasib anak murid kami yang kehilangan ibu ayah dan ahli keluarganya sekelip mata dalam kemalangan. Ingin sekali aku berkata pada Asma', bukan kita saja diuji Allah. Ada juga orang lain yang diuji sesuai dengan kemampuan mereka.  Bahkan lebih besar ujian mereka. Yakinlah dengan janji Allah itu, di syurga pasti akan bersatu kembali.