Skip to main content

Caesarean, di hujung mata pisau


Assalamualaikum sahabat-sahabatku yang baik, semoga berada dalam keadaan yang sihat selalu. Jika ada kesakitan yang kita alami pada saat ini, pandanglah ia sebagai satu cara Allah menghapuskan dosa-dosa kita. Jika ada yang sedang bersedih dan kecewa atas pelbagai sebab yang mengganggu hidup kita, carilah sesuatu benda yang boleh membuatkan kita rasa syukur. Syukur masih boleh bernafas, syukur masih ada waktu untuk kita perbaiki kesilapan lalu. Sentiasa pujuk hati kita bahawa kesedihan ini tidak akan lama dan kebahagiaan akan datang jua.

Baiklah, entri yang pertama ini saya nak berkongsi tentang pengalaman bersalin secara ceasarean. Pada ketika ini, anak saya sudah berusia lapan bulan. Saya baru sahaja ada kekuatan untuk 'recall' semula detik-detik saat bersalin kali pertama itu. Lihat pada tajuk di atas, dengar agak menggerunkan juga ya? Pengalaman pertama sangat penting sebenarnya dalam hidup kita sebab ia akan mempengaruhi pengalaman seterusnya. 

Sebelum kelahiran
Pada fasa ini, ibu-ibu mengandung akan menikmati detik-detik bahagia sepanjang kehamilan lebih-lebih lagi sekiranya ia adalah buat kali pertama. Seorang ibu wajib menjaga kesihatannya dari sudut jasmani, rohani dan emosi. Banyakkan membaca atau bertanya daripada orang berpengalaman untuk mendapat ilmu. Siapa lagi yang layak kita tanya kalau bukan ibu kita kan? Sekiranya masih ada ibu, kongsilah segala perasaan ketika hamil itu kepada ibu kita sendiri. Semasa kehamilan, saya cukup sihat dan aktif dalam melaksanakan kerja harian. Segalanya ok dan lancar. Alhamdulillah.  Jangan lupa banyakkan pengambilan sayuran dan buah-buahan. Kalsium pun kena ambil juga dan kurangkan pengambilan kafein. Teringat lagi waktu ini, tampalan gigi kacip saya patah ketika makan jagung rebus. Pastu bila jatuh, saya kutip dan cantumkan semula sehinggalah saya selamat bersalin. Haha..
Bermula daripada saya dapat tahu ada bayi membesar dalam rahim ini, saya berdoa setiap malam supaya dapat bersalin normal. Banyak kisah yang saya baca, orang yang beranak secara pembedahan amat menakutkan dan lambat sembuh. Tetapi, perancangan Allah pasti terbaik. 

Tibalah masanya kelahiran
Saya sudah merancang daripada awal lagi untuk melahirkan anak saya ini di kampung memandangkan di bandar ini tidak ada sesiapa yang boleh tolong saya. Jadi, pada minggu ke 38 minggu kehamilan, saya sudah berada di rumah mak. Makin dekat dengan waktu kelahiran, saya terasa berat pada bahagian uri seperti bayi menekan-nekan. Tak sabar nak keluar gamaknya. Setiap hari, saya melakukan pergerakan berjalan dengan cepat dan naik turun tangga. Hal ini bertujuan membuka otot-otot dan mudahkan urusan bersalin. Saya juga sudah banyak baca pasal tanda-tanda kelahiran supaya lebih bersedia menghadapi saat itu. Pada hari yang dinanti-nanti, saya rasa sakit memulas dan keluar tompokan darah. Saya juga berulang kali ke tandas. Cirit. Tetapi sakit pada ketika itu masih boleh tahan dan saya masih lagi tidak tahu sakit sebenar nak beranak itu macam mana. Masa itu waktu Asar. Di rumah ketika itu, ada buah durian yang dibeli oleh abang saya. Jadi, saya pulun makan durian sebelum apa-apa berlaku kan. Haha. Lepas Isyak, atas nasihat ibu saya, saya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kerana sakit seperti 'period' itu makin kerap. Setiap lima minit sekali. Kakak saya yang hantar ke hospital.  Suami saya masih di Bangi atas urusan kerja. 

Labour room
Dipendekkan kisah, bacaan jantung bayi saya sudah tidak stabil. Bukaan hanya 2 cm. Doktor yang bertugas terus memecahkan ketuban. Sungguh, saya agak terkejut. Kata doktor, bayi saya sudah berak dalam perut. Tapi masih lagi tersenyum kelat dan tegur kawan sekolah saya yang turut ada masa itu. Dia juga ada di situ atas tujuan sama. Saya ditolak ke bilik bersalin. Suara mak-mak yang bersalin meraung-raung buat hati saya kecut. Terus ingat mak kat rumah. Seronoknya jika mak dapat teman saya ketika itu. Sayang sekali mak saya tak dapat temankan kerana dia sendiri pun sudah kian uzur sebab kencing  manis. Suami pula masih tak sampai-sampai. 'Flight' nya esok pagi. Sahabat-sahabatku yang mulia, ketika ini saya membaca doa nabi yunus sewaktu dalam perut ikan nun. Terkumat kamit baca. Dalam hati, hanya berserah. Sempat lagi saya teringat kat sahabat tersayang saya. Dia minta saya beritahunya bila tiba saat nak bersalin nanti. Lagi pun, saya melangkah masuk tadi pun dengan sehelai sepinggang. Henset ada dengan kakak saya di kerusi menunggu di luar. 

Setelah diberi 'induce' beberapa kali, 'contraction' sangat kuat tetapi tidak ada bukaan. Langsung. Masih 2 cm. Sakitnya tidak terperi. Itulah sakit yang akan saya ingat sepanjang hidup saya. Nikmat sihat itu sangat manis rupanya. Insaf. Doktor terpaksa masukkan satu wayar melalui vagina, dilekatkan pada kepala bayi saya untuk mendapatkan bacaan jantung yang lebih stabil. Syukur, dia sihat dan selamat. Doktor periksa bukaan kali ke berapa dah saya lupa, tapi masih tidak ada bukaan. Selepas saya diberi ubat tahan sakit, 'contraction' berkurangan dan tiada bukaan. Pelik juga saya kenapa prosedur ini dibuat dan tidak membantu proses bersalin pun. Seolah-olah induce tadi tidak berkesan. Semalaman saya menahan sakit. Esok harinya, doktor datang cek bukaan lagi. 4 cm. Atas nasihat pakar, saya perlu dibedah. Saya bersetuju kerana bimbangkan nyawa bayi. Risau jika dia sudah termakan najis. 
Memasukkan ubat bius ke kawasan epidural pada bahagian tulang belakang.
Sumber: Google

Di bilik bedah
Saya menandatangani surat persetujuan untuk dibedah. Maka, bermulalah proses ceaser. Dipendekkan lagi cerita, saya dibius separuh badan. Bius epidural. Bila sudah kebas, badan seakan menggigil. Pisau yang tajam pun menghiris beberapa lapisan perut. Masih dapat saya bayangkan perut ditekan-tekan untuk keluarkan bayi saya. Alhamdulillah ibu dan anak selamat. Pembedahan yang mungkin meragut nyawa ini seolah berlalu sekejap saja. Doktor dan ahlinya siap gelak ketawa lagi dalam bilik itu tanpa menghiraukan perasaan saya ketika itu. Huh..sungguh pilu. Mungkin juga mereka nak hiburkan hati saya. Barangkali. Azan dilaungkan oleh salah seorang dalam bilik bedah itu. Saya sedar bahawa seorang bayi lelaki seberat 3.05 kg telah dilahirkan ke dunia ini. Syukur. 

Di wad 
Saya terus dibawa ke wad. Bayi saya pula di tahan di wad yang lain. Badan saya menggigil kesejukan akibat kesan daripada bius. Banyak kesan yang lain tetapi setiap orang berbeza kesannya. Antaranya pening seperti nak pitam jika berdiri. Ibu tidak boleh angkat kepala dan perlu baring sahaja selama enam jam. Selain itu, tidak boleh makan atau minum apa-apa dalam tempoh itu. Selepas enam jam, barulah boleh cuba minum air atau susu. Sekiranya masih tidak boleh masuk makanan, ibu tersebut akan muntah. Saya pula agak kelaparan kerana sejak petang semalam perut kosong. Selepas enam jam, sakit berdenyut-denyut pada bahagian luka kemungkinan ubat bius telah hilang. Saya tidak dapat menggerakkan sedikit badan pun kerana berasa amat sakit. Pada hari pertama ini, saya berasa sangat lemah. Semuanya dilakukan oleh jururawat dan penjaga. Suami hanya boleh masuk ke wad pada waktu melawat sahaja. Pada malamnya, kakak saya pula terpaksa jaga saya. Saya amat berterima kasih padanya. Jururawat kerap datang untuk memeriksa tekanan darah dan cucuk ubat cair darah. Saya percaya ia bertujuan mengelakkan sebarang pembekuan darah dalam badan. Ubat tersebut dinamakan heparin. Pada waktu ini, sungguh saya berasa lemah dan tidak ada kekuatan. Sekali lagi saya menghargai sebuah nikmat sihat itu.

Menyusukan bayi
Saya mengalami masalah untuk menyusukan bayi. 'Nipple' yang tenggelam sukar untuk bayi hisap. Pelbagai cara dan teknik yang diajar oleh jururawat. Antaranya, guna picagari untuk timbulkan 'nipple'. Kaedah penyusuan secara mengiring juga tak dapat dilakukan kerana pergerakan pula terbatas. Penting bagi ibu muda yang kali pertama menimang cahaya mata untuk menimba ilmu tentang cara penyusuan yang betul . Sebelum ini, saya telah pun menghadiri kursus berkenaan tetapi apabila berhadapan dengan situasi sebenar saya gagal. Sungguh kecewa rasanya apabila seorang ibu tidak dapat menyusu sendiri bayinya, Sepanjang dalam pantang, saya masih berusaha supaya bayi saya dapat menyusu badan. Akhirnya, segala usaha gagal kerana bayi saya terus menolak dan menangis apabila diberi susu badan. Saya juga telah menggunakan kaedah 'skin to skin' dengan bayi saya, tetapi tidak berhasil juga. Sehingga sekarang, bayi saya membesar dengan susu formula. Saya berasa sangat 'down' ketika itu. Saya juga berasa sangat rendah diri apabila kawan-kawan atau saudara mara yang datang ziarah tahu saya tidak menyusu secara 'direct'. Saya terpaksa menggunakan pam elektrik untuk keluarkan susu, diisi dalam botol kemudian baru diberikan kepada bayi saya. Satu perkara sahaja yang dapat saya kongsikan. Semasa di hospital, sekiranya ibu mengalami masalah untuk menyusukan bayi seperti saya, sama ada guna susu badan atau formula. Tolong suapkan susu tersebut  pada bayi anda menggunakan sudu atau picagari. Jangan sama sekali gunakan botol kerana bayi anda akan keliru apabila menyusu secara 'direct' dan dia akan menolak. Pada mulanya memang sukar, tetapi inshaAllah akan berhasil. Ibu sangat memerlukan sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat terdekat untuk menempuh saat ini.

Inilah dia penyejuk hati, pengarang jantung saya, Abdullah Azzam.
Selepas kelahiran
Sudah tiga hari dua malam 'menginap' di hospital, maka pulanglah saya ke rumah mak. Saya dibekalkan dengan heparin dan perlu dicucuk di klnik berhampiran selama 10 hari, waktu pagi dan malam. Jenuh jugalah nak ulang alik ke klinik. Ibu-ibu selepas bersalin perlu pulih semula luka-luka dengan berpantang. Paling penting makan makanan yang berkhasiat. Ikan bakar atau ayam bakar. Sayur sawi. Banyakkan makan buah oren untuk mendapatkan bekalan vitamin C. Sehingga sekarang, saya mengalami sakit pada bahagian tulang belakang. Adakah disebabkan bius epidural atau otot-otot yang mengembang semasa mengandung? Sakit pinggang juga tidak boleh bawa bincang lagi sekiranya menyerang tiba-tiba. Setiap hari. Apabila saya bertanya kepada sahabat yang pernah caesar, mereka juga sama macam saya. Ada juga yang tidak. Tidak sama setiap invidu. Mungkin juga atas penerimaan badan kita. Menurut pembacaan saya, bius epidural tidak menjadi sebab kepada hal ini. Saya pun tak pasti. Jadi jika sakit, saya buat regangan dan jika cuti sekolah macam ni sempatlah saya bersenam robik. Sekurangnya,sakit itu hilang walaupun sementara sahaja.

Pengajaran 
Apabila sudah ada tanda-tanda bersalin, cepat-cepat ke hospital kerana kita tidak tahu sekiranya ada masalah dengan bayi kita. Besarnya pengorbanan seorang ibu apabila diri sendiri alaminya. Tuhan juga menjanjikan ganjaran besar kepada wanita yang mengandung dan melahirkan. Setiap hari, malaikat mencatat kebaikan dan mendoakan buat mereka. Sakit yang dialami semasa melahirkan pastinya secebis sahaja jika dibandingkan sakit sakaratul maut. Semoga entri ini memberi kebaikan buat semua wanita di luar sana. Suami juga perlu ada ilmu untuk menghadapi situasi ini dan membantu isteri lebih-lebih lagi emosi si ibu kurang stabil pada ketika ini. Wallahua'lam.







Comments

  1. Subhanallah..Sebuah catatan pengalaman hidup yang amat bermakna dikongsi. Moga Allah melimpahi rahmat Dan membalas segala jerit perih sis dengan berjuta2 kebaikan.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Penutup 2024

Sedikit coretan untuk diri sendiri terutamanya. Sebagai muhasabah diri untuk terus bertahan di jalan hidup masing-masing.  Pertama, kita perlu yakin dan berani apa saja yang kita buat pasti akan dapat balasannya suatu hari nanti. . Kebaikan mahupun kejahatan semua diambil kira dan dicatat. Jadi, jangan pernah berkira dengan membuat kebaikan . Buatlah baik semampu kita. Buat jahat jangan sekali.  Next, apa sahaja halangan, ujian ataupun kita nak best sikit kita sebut cabaran hidup yang kita hadapi, bergantung kuatlah hanya pada Allah . Jangan pernah berharap pada makhluk. Apabila namanya makhluk ciptaan, mereka sendiri juga perlukan sesuatu untuk berpaut. Kita ni asalnya lemah dan selamanya lemah. Jangan bermimpi nak jadi kuat. Betul, Allah akan hadirkan manusia-manusia lain di sekeliling kita tetapi bukannya pergantungan 100% kepada mereka. Berdoa dan berharap hanya pada Allah. Kita hanya perlukan sedikit nasihat dan sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat. Selebihnya, h...

Patau

Bismillah. Lama sungguh saya tidak menjenguk blog ini. Coretan kali ini ialah sekadar catatan pengalaman dalam hidup di dalam dunia fana ini untuk tatapan hari tua nanti. Tahun 2024 tahun ujian buat saya dan keluarga kecil kami. Sungguh berat sekali ujian ini.  Hujung december lepas, 2023 saya disahkan hamil buat kali ketiga. Rancangnya, ini adalah kandungan saya yang terakhir disebabkan saya akan elective czer buat kali ketiga. Dan, akan memandulkan diri sendiri dengan kaedah pemandulan kekal iaitu ikat peranakan atau bilateral tubal ligation (btl).  Apabila kandungan masuk 23-25 minggu, saya akan buat detail scan untuk setiap anak untuk memastikan keadaan baby sihat dan normal sebaik saja dilahirkan. Keputusan mendapati ada beberapa abnormal pada otak, jantung dan juga buah pinggang. Doktor atau sonografer di klinik swasta mencadangkan untuk buat detail scan buat kali kedua dalam masa dua minggu lagi. Waktu ini, saya tidak begitu risau tentang ini kerana anak kami sebel...

Bulatan gembira itu!

Bismillah..segala puji bagi Allah yang mengatur setiap gerak langkah kita setiap masa. Dia sentiasa jaga kita walaupun kita seringkali lupa padaNya. Ampunkan kami Ya Allah.  Kali ni saya nak cerita bagaimana saya mengenali usrah atau saya panggil bulatan gembira. Tidak semua yang tahu kecuali sahabat terdekat sahaja. Semoga terselit sedikit ibrah melalui perjalanan hidup saya ini. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ibu ayah bekerja sendiri. Sejak kecil, saya melihat  mereka berhempas pulas bekerja mengerah keringat demi membesarkan tujuh anak. Antara kerja yang pernah mereka buat ialah kerja sawah, menanam ubi keledek, tembakau, kacang tanah, jagung dan sayuran yang lain. Tanaman ini bersilih ganti mengikut musim. Saya masih ingat kami berlari-lari dan bermain dalam petak sawah, penuh dengan lumpur sambil menangkap ikan. Sungguh indahnya waktu itu. Terima kasih wahai ibu dan ayah kerana besarkan kami dengan penuh kasih sayang.  Seperti kanak-kanak ya...