Skip to main content

Apa yang dibawa dan ditinggalkan?

Bismillah..assalamulaikum. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Sedar atau tidak, tahun 2019 akan melabuhkan tirai. Masa semakin mencemburui kita setiap hari. Kita dikejar dengan pelbagai urusan kerja yang tidak pernah tamat. Sahabat saya pernah cakap, '' Buat apa kuat kerja kalau kesihatan sendiri tak dijaga. Nanti kalau kau tiada atau mati, tidak ada siapa pun kisah. Orang lain akan ganti tempat kau dan sekolah akan tetap berjalan seperti biasa''. Begitulah lebih kurang bebelannya pada saya ketika saya mengadu sakit-sakit badan tetapi tidak ada masa untuk buat pemeriksaan di klinik. Saya akur dan terima. Lagi pun saya tahu, dia berkata begitu sebab dia sayang dan ambil berat. Rutin harian kita setiap hari membuatkan kita terlupa akan tujuan utama kita berada di dunia ini. 

Pertama, Allah jadikan kita untuk menjadi hambaNya kepadaNya (Az-Zariyat:56). Kedua adalah untuk menjalankan amanah sebagai khalifah di atas muka bumi ini (Al-Baqarah: 30). Kata-kata sahabat saya tadi, membuat saya terfikir. Jika betul, saya perlu memastikan sesuatu yang bermakna ditinggalkan di tempat itu sebelum saya pergi. Saya juga perlu pastikan saya berjaya menyentuh setiap jiwa insan yang saya jumpa. Buat baik dengan semua orang. Sekiranya saya sudah tiada, tetapi jasa saya masih dikenang. Paling tidak, anak-anak murid saya akan ingat saya dalam doa mereka. Pemergian saya akan dirindui. Ketiadaan saya akan dirasai. 

Apabila saya muhasabah diri semula. Betul. Itulah tujuan sebenar kita hidup di dunia ini. Cari pahala untuk bekalan menempuh alam seterusnya sehingga ke destinasi terakhir. Seterusnya, sediakan aset akhirat supaya walaupun kita sudah meninggal dunia, pahala masih lagi mengalir masuk ke akaun kita. Terbaik! Sabda Nabi saw, tiga amalan sahaja yang dapat tolong kita dalam kubur. Satu, doa anak soleh. Dua, sedekah jariah. Tiga, ilmu yang dimanfaatkan. Secara tidak langsung, bonus bagi seorang guru dia akan dapat amalan yang ketiga iaitu ilmu yang diajar telah digunakan oleh pelajarnya. Oleh itu, sampaikanlah ilmu dengan ikhlas supaya ia terus melekat pada hati anak murid kita. 

Setiap kali saya rasa kecewa dengan manusia, penat dengan pelbagai urusan, rasa stress dan tidak bersemangat, terus saya ingat akan dua tujuan utama ini. Atas sebab itu jugalah, saya buat penulisan ini. Semoga menjadi peringatan pada diri saya sendiri apabila lelah dengan ujian hidup. Apalah sangat ujian yang saya alami berbanding ujian lain. Banyak lagi perkara yang boleh saya syukuri. 

Terdapat seorang pelajar nakal dalam kelas saya. Kalau dia tidak hadir ke sekolah saya terus berasa lega. Barulah boleh mengajar dengan aman. Pelajar lain pun boleh fokus kerana tidak diganggu olehnya. Sebagai seorang guru, kita tidak boleh melabel anak atau pelajarnya. Kita tidak tahu masa depan dia. Boleh jadi pelajar nakal inilah yang tarik saya ke syurga nanti. Pelajar ini walaupun dia kurang beradab dengan guru, dia tetap ada sisi kebaikannya. Suatu hari, seorang pelajar perempuan termuntah dalam kelas. Nak tahu apa tindakan pelajar yang saya katakan nakal tadi? Tanpa diminta oleh saya, dia terus berlari ke bawah untuk mengambil mop. Lalu, dibersihkannya muntah kawannya tadi sehingga bersih. Dia telah menyelamatkan keadaan kelas yang berbau muntah dengan bau sabun yang wangi . Alhamdulillah kelas saya dapat disambung selepas itu walaupun hanya berbaki lima minit sahaja. 

Mari sahabat semua kita fikirkan apa perancangan kita pada tahun 2020 yang dapat melengkapkan dua persoalan di atas. Saya sendiri sentiasa jatuh dan bangun setiap kali diuji. Kita merancang, Allah juga merancang. Perancangan Allah pasti terbaik. Berserahlah kepadaNya. InshaAllah pertolongan Allah akan datang dalam pelbagai bentuk. Subhanallah. Jangan sesekali berharap kepada manusia kerana manusia datang dan pergi dalam hidup kita. Namun, Allah tetap setia dan tidak pernah tinggalkan kita. Allahuakbar.

Nabi Muhammad saw meninggalkan Al-Quran dan A-Sunnah buat kita. Itulah Peninggalan paling bermakna. Tugas kita pula adalah memastikan anak-anak kita tidak meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup mereka. Jadi, persoalan di atas telah terjawab. Apa yang kita nak bawa menghadap depan Allah? Apa yang kita nak tinggalkan setelah kita meninggal?

Ini Ain. Gambar ni diambil pada tahun 2016. Dia suka tertidur dalam kelas. Apabila ditanya kenapa sentiasa mengantuk, katanya dia tidur lambat sebab menonton tv. Peranan ibu bapa juga perlu mengawasi anak di rumah. 

Comments

Popular posts from this blog

Pahala freedom

Banyak kali dah saya mencari sesuatu nak buat supaya dapat pahala berterusan walaupun saya dah mati nanti. Dalam kelas pun, saya terangkan kepada murid tentang ini sebab ada tajuk yang berkaitan. Ada topik tentang mengingati mati dan juga tentang amal jariah dalam menuntut ilmu.  Kita tak selamanya hidup di dunia ini. Suatu masa akan pergi dan tak mampu lagi nak buat ibadah seperti waktu hidup. Terputus semua amalan kecuali tiga perkara iaitu doa anak soleh, ilmu bermanfaat dan sedekah atau infaq. Semua orang nak financial freedom, tapi kadang-kadang tidak terfikir untuk dapat pahala freedom ini.  Apa yang saya dah ada sekarang dan akan cuba lagi buat yang terbaik: 1-Ada anak soleh solehah, usaha dan doa supaya di didik menjadi anak yang boleh mendoakan ibu bapa buat selamanya.  2- Jadi guru, ajar ilmu yang baik. Buat yang terbaik dan jangan sambil lewa.  3. Guru Al-Quran, ajar betul-betul anak murid supaya boleh baca Quran dengan baik. Ajar anak sendiri juga.  ...

Bila bangun pagi

Bagaimana tidur anda semalam? Lena atau tidak. Apa pun,ucapkanlah syukur kerana diberi peluang lagi untuk terus hidup pada hari ini.  Bacalah doa bangun tidur yang anak-anak kita sudah hafal sejak tadika lagi. "Segala puji bagi Allah yang telah membangunkan kami setelah menidurkan kami dan kepadaNyalah kami dibangkitkan." Anak-anak kat sekolah biasanya baca doa sebelum saja,doa sebelum makan, sebelum tidur, sebelum masuk tandas. Doa yang selepas perbuatan biasanya mereka lupa sebab tidak dibaca. Begitulah, hafal tapi tak diamalkan. Lama-lama lupa.  Jadi,amalan mudah yang kita boleh buat,kita buatlah setiap hari. Rugilah jika tak diamalkan.  Semangat! Semangat! 

Asma' bebel.

Setiap malam,sebelum tidur dan selepas lampu rumah dipadamkan, Asma' akan mula bercerita. Pillow talk la konon. Dia akan cerita apa yang dia buat hari ni,apa yang dia akan buat bila bangun pagi, ada juga perkara lama yang dia ulang cerita.  Malam tadi,dia bertanya lagi tentang baby Awatif. Seperti dia merindukan adiknya yang tak sempat dia tatap dan sentuh itu. Aku mula rasa sedikit hiba.  Aku mula mengenangkan nasib anak murid kami yang kehilangan ibu ayah dan ahli keluarganya sekelip mata dalam kemalangan. Ingin sekali aku berkata pada Asma', bukan kita saja diuji Allah. Ada juga orang lain yang diuji sesuai dengan kemampuan mereka.  Bahkan lebih besar ujian mereka. Yakinlah dengan janji Allah itu, di syurga pasti akan bersatu kembali.